Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Sebuah firma seni bina yang telah menghadapkan permohonan untuk mendapatkan Kebenaran Kemajuan daripada Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) hanya setelah kerja-kerja pembinaan selesai dilaksanakan di Kampung Kiarong kini sedang disiasat.
ABCi dalam kenyataannya menjelaskan, firma tersebut disiasat kerana didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24 Perintah Kawalan Bangunan 2014 (BCO) iaitu melaksanakan kerja-kerja pembinaan tanpa Kebenaran Kemajuan atau permit yang sah. Siasatan awal ABCi mendapati firma itu ada menghadapkan permohonan bagi Kebenaran Perancangan dan lanjutan masa dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa akan tetapi firma itu tiada membuat susulan bagi permohonan Kebenaran Kemajuan dihadapkan kepada ABCi.
Menurut ABCi, mana-mana individu yang menjalankan, mengizinkan atau membenarkan kerja-kerja pembinaan tanpa persetujuan dan kebenaran daripada ABCi adalah melakukan kesalahan yang boleh membawa denda maksimum $200,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, seorang pembina tempatan telah ditarik lesen pembinaannya setelah didapati memalsukan dokumen untuk menyokong permohonannya.
ABCi mendapati sijil Diploma Tertinggi Kebangsaan (HND) daripada institusi teknikal yang dihadapkan tidak sah memandangkan institusi berkenaan tidak ada menawarkan kursus yang dinyatakan dan tidak pernah mengeluarkan sebarang persijilan. Menghadapkan dokumen palsu kepada ABCi bagi tujuan mendapatkan lesen, permit, pengecualian atau kebenaran adalah menjadi satu kesalahan di bawah BCO2014 di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda $20,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Kenyataan menyatakan, ABCi telah melaporkan kes pemalsuan tersebut kepada pihak polis bagi siasatan lanjut.
Setiap lesen pembinaan yang dikeluarkan hanya sah bagi tempoh tiga tahun dan membolehkan individu berkenaan menjalankan perniagaan dalam industri pembinaan di negara ini sahaja.
Senarai syarikat pembinaan yang berlesen boleh didapati di laman sesawang ABCi www.abci.gov.bn dengan menekan tab ‘Mencari Syarikat Pembina’. Orang ramai bolehlah menghubungi hotline ABCi di talian 8140365 bagi sebarang aduan.