TAMPA, 9 OKT – Florida yang dilanda ribut bersiap sedia untuk menghadapi Taufan Milton yang kembali kepada ribut Kategori 5 kelmarin, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden merayu kepada penduduk berpindah sambil memberi amaran bahawa ia mungkin menjadi bencana alam terburuk yang melanda negeri itu dalam satu abad.
Ketika taufan besar kedua dalam beberapa minggu menghampiri pantai barat Florida, rasa kebimbangan semakin memuncak apabila orang ramai bergegas untuk menutup rumah mereka dan melarikan diri.
“Ia adalah soal hidup dan mati, dan itu bukan hiperbola,” kata Biden dari Rumah Putih, mendesak mereka yang berada di bawah arahan untuk meninggalkan tempat tinggal.
Amaran Biden datang di tengah-tengah perbalahan sebelum pilihan raya, di mana naib presiden parti Demokrat, Kamala Harris mengecam pesaingnya, Donald Trump kerana menyebarkan dakwaan palsu bahawa usaha pemulihan selepas ribut pertama, Taufan Helene, dialihkan daripada Republikan.
Setakat kelmarin, Milton kembali kepada tahap Kategori 5 maksimum, membawa angin kencang dengan kelajuan maksimum 165 batu sejam, menurut Pusat Taufan Kebangsaan.
“Ketidakstabilan dalam kekuatan mungkin berlaku semasa Milton bergerak merentasi Teluk timur Mexico, tetapi Milton dijangka menjadi taufan besar yang berbahaya apabila ia sampai ke pantai barat-tengah Florida hari ini,” kata NHC.
Gabenor Ron DeSantis, semasa sidang akhbar, menyenaraikan bandar demi bandar dan daerah demi daerah yang berisiko mengalami kesan teruk akibat Milton.
“Pada dasarnya, seluruh kawasan semenanjung Florida diletak di bawah beberapa jenis amaran atau peringatan,” katanya. – AFP