KUALA LUMPUR, 24 Feb – Syarikat penyewaan pesawat penerbangan dari Arab Saudi, Fly Qassim dengan kerjasama Nashwan Aviation dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Nesma Airlines dari Arab Saudi dan Jalinan Pengurusan Dwi Vista Sdn Bhd dari Malaysia akan memperkenalkan penerbangan sewa khas tanpa henti ke Madinah dan Jeddah.
Fly Qassim dalam satu kenyataan hari ini, berkata penerbangan itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru pada hari Isnin dan Jumaat.
Penerbangan umrah dan ziarah itu akan bermula dari 17 Mac 2017 sehingga 18 Julai 2017, manakala penerbangan Haji akan bermula dari 18 Julai 2017 sehingga 22 Sept 2017.
“Tambang penerbangan bagi perjalanan umrah dan ziarah adalah RM3,300 iaitu dari Kuala Lumpur dan RM3,400 dari Johor Bahru,” katanya.
Pesawat Airbus 330-200 Fly Qassim mempunyai kapasiti 350 penumpang yang mampu terbang dari Malaysia ke Arab Saudi.
Pengarah Urusan Jalinan Pengurusan, Norlynne Basir, berkata syarikat itu berharap kerjasama berkenaan akan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh jemaah haji Malaysia dalam beberapa bulan lepas, khususnya yang berkaitan dengan kelewatan serta pembatalan penerbangan.
“Kami yakin perkhidmatan kami akan menjadi pilihan utama kepada penumpang umrah dan ziarah Malaysia yang sedang mencari penerbangan sewa yang berkos efektif serta cekap ke Arab Saudi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norlynne berkata, syarikat itu bercita-cita untuk menjadi syarikat perkhidmatan penerbangan sewa umrah dan ziarah yang terbaik di rantau ini.
Fly Qassim, yang merupakan sebuah syarikat penyewaan penerbangan Arab Saudi dengan pejabat di Malaysia dan Indonesia, beroperasi di bawah syarikat induknya, Nashwan Aviation UAE.
Syarikat penerbangan itu telah ditubuhkan sejak lima tahun lepas. Ia beroperasi di bawah nama Nesma Airlines Arab Saudi dan memberi tumpuan kepada penerbangan sewaan untuk haji, umrah dan ziarah di Malaysia serta Indonesia. – Bernama