Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan Jabatan Hal Ehwal Masjid
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 (HK39), Forum Belia dan Beliawanis Masjid Senegara telah diadakan di Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan, Daerah Belait, hari ini.
Ia dianjurkan oleh Kumpulan Belia Masjid RPN Kampung Pandan dengan kerjasama Jawatankuasa Tertinggi Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid Senegara.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann.
Forum bertajuk ‘Menangani Gejala Sosial di Kalangan Belia dan Cara Mengatasinya’ tersebut bertujuan untuk mengenal pasti gejala sosial yang sering berlaku dalam kalangan belia dan cara untuk mengatasinya menurut perspektif Islam.
Di samping itu, ia juga diadakan untuk meningkatkan kesedaran para belia akan kesan bahaya masalah sosial kepada masa depan mereka.
Selain itu, acara juga memberi peluang kepada para belia berkumpul dalam majlis ilmu yang bermanfaat.
Ahli-ahli forum terdiri daripada Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Mohammed Khairul Mu’az bin Haji Sibodaud selaku ahli panel pertama dan Penolong Profesor, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman selaku ahli panel kedua dengan Pegawai Pelajaran Ugama, Haji Mohamad Ezwan bin Haji Ali selaku moderator.
Dengan adanya forum seumpama itu diharap sedikit sebanyak akan dapat memberi ilmu pengetahuan serta input yang bermanfaat kepada para peserta dan semua yang hadir khususnya yang berkenaan dengan tajuk yang dibincangkan di samping dapat menarik lebih ramai orang untuk sama-sama memakmurkan masjid.