Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Forum khas galak belia ke masjid

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Bersempena penubuhan Masjid Ar-Rahman Kampung Tanjung Bunut, jawatankuasa takmir masjid berkenaan telah mengadakan forum khas bertajuk Imarah Masjid Suluhan Takwa.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Ahli-ahli panel forum terdiri daripada Penolong Pensyarah di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak dan Penolong Pensyarah Fakulti Pendidikan di KUPU SB, Haji Mohammad Khaairul Azhar bin Haji Idris dengan dipengerusikan oleh Awang Mohammad Rif’at Atiyah bin Haji Anwari.

    Acara tersebut merupakan salah satu inisiatif jawatankuasa takmir masjid untuk membentuk minda masyarakat setempat terutama golongan belia supaya rapat dan suka hadir ke masjid sama ada untuk melakukan ibadah wajib atau aktiviti kebajikan yang lain.

    Antara tujuannya adalah untuk menyahut hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir berlandaskan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

    Di samping menyemarakkan lagi sambutan lima tahun penubuhan masjid berkenaan dan sama-sama melibatkan diri dalam mengembangkan syiar Islam, ia juga dijadikan sebagai ristaan sejarah bagi penduduk Kampung Tanjung Bunut khususnya dan penduduk kampung sekitar amnya.

    Selain mengimarahkan masjid dengan aktiviti keagamaan dan aktiviti kemasyarakatan seperti penyempurnaan jenazah dan lain-lain, forum juga diharap dapat mendedahkan kepada masyarakat tentang fungsi sebenar masjid serta menggalakkan para ahli jawatankuasa takmir masjid, belia dan jemaah untuk cinta dan suka hadir ke masjid.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa menghadiri forum khas di Masjid Ar-Rahman Kampung Tanjung Bunut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...