Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Forum tingkatkan keselamatan di tempat kerja

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Persatuan Perniagaan Brunei Perancis (FBBA) telah menganjurkan forum perniagaan mengenai HSE bertajuk Resilience is Being Prepared, the SHENA Story yang diadakan di Hotel Raddison, di ibu negara, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya,yang juga selaku ketua pegawai eksekutif interim SHENA. Turut hadir ialah ahli-ahli kor diplomatik, institusi-institusi kerajaan dan pendidikan serta ahli-ahli FBBA dan tetamu jemputan.

    Acara diadakan dengan kerjasama SHENA bagi menyediakan platform untuk berinteraksi dengan pihak berkepentingan yang relevan dan meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dalam usaha menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai tempat yang selamat untuk bekerja dan tinggal.

    Dalam ucapan alu-aluan bersama dari Duta Besar Perancis ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Christian Ramage yang juga selaku penaung FBBA dan Presiden Interim FBBA, Pierre Imhof, mengulang mengenai kejayaan FBBA sebagai persatuan perniagaan dua hala, telah berusaha untuk menyediakan rangkaian yang sangat diperlukan agar ahli-ahlinya dimaklumkan dan sebagai wahana untuk berkongsi kepentingan ekonomi dan perniagaan.

    Bagi FBBA, forum seumpamanya adalah suatu keistimewaan di mana jurang komunikasi dalam sektor awam dan swasta dapat dirapatkan dengan pertukaran berterusan sepertinya terutama sebagai pengganti (enactment) Perintah Autoriti Kebangsaan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar baru-baru ini.

    Acara diteruskan dengan ucapan oleh Haji Azhar, diikuti dengan pengenalan mengenai SHENA dan HSE yang disampaikan oleh Ketua Inspektor (Industri) SHENA, Kapten Jaime Rebelo, dan penjelasan mengenai keselamatan radiasi oleh Pengarah Jabatan Radiasi, SHENA, Dayang Zubaidah binti Haji Mahmud.

    Forum tersebut diakhiri dengan perbincangan panel dan pertukaran maklumat yang sangat interaktif yang menyaksikan para jemputan berusaha memahami dengan lebih jelas mengenai pelaksanaan Perintah Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar, 2018.

    TYT Christian Ramage semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda