Tuesday, December 17, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fosil dinosaur baharu ditemui di China

    KUNMING, 16 DIS – Spesimen fosil dinosaur yang ditemui pada tahun 2007 di wilayah Yunnan, barat daya China telah dikenal pasti sebagai genus baharu dinosaur sauropodomorf dari era Jurassic awal, yang dinamakan Lishulong wangi. Penemuan itu telah diterbitkan dalam jurnal akademik antarabangsa, PeerJ.

    Fosil itu ditemui semasa ekspedisi saintifik di Kampung Dalishu, Pekan Konglongshan, Bandar Lufeng. Spesimen tersebut merangkumi tengkorak yang hampir lengkap serta sembilan tulang vertebra serviks, menurut laporan penyelidik.

    Menurut Pengarah Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Fosil Dinosaur di Biro Sumber Asli Lufeng, Wang Tao, bahagian belakang fosil itu telah dihanyutkan air hujan semasa proses penggalian. Berdasarkan fosil yang masih tinggal, dinosaur itu dianggarkan sepanjang lapan meter.

    Melalui perbandingan morfologi dan analisis filogenetik, para penyelidik mendapati spesimen Lishulong wangi itu tidak tergolong dalam mana-mana genus yang pernah ditemui sebelum ini. Sebelum ini, sebanyak lapan spesies dinosaur sauropodomorf dari era Jurassic awal telah dikenal pasti di Lufeng, yang tergolong dalam enam genus berbeza.

    Hasil kajian bertahun-tahun mendapati Lishulong wangi berkongsi ciri morfologi dengan sauropodomorf yang telah diketahui, namun tergolong dalam kumpulan awal yang bercabang dalam evolusi sauropodomorf tersebut.

    Ia memiliki tengkorak terbesar di antara ahli sauropodomorf dari Lufeng, dengan ukuran panjang sekitar 40 sentimeter, menurut penyelidik di Institut Paleontologi dan Paleoantropologi Vertebrata, Akademi Sains China, You Hailu.

    Penemuan itu memperkaya kepelbagaian dinosaur di wilayah barat daya China dan memperluaskan pemahaman mengenai ciri-ciri evolusi awal spesies berkenaan, kata You. – Xinhua

    Spesimen fosil dinosaur Lishulong wangi dipamerkan di Muzium Tapak Lembah Dinosaur Lufeng, baru-baru ini. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda