KUALA LUMPUR, 25 DIS – Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh berpandangan industri sukan di Malaysia sebenarnya tidak berdepan masalah kekurangan penajaan sebaliknya kurang berjaya meyakinkan pihak yang berpotensi untuk menjadi penaja.
Beliau berkata kegagalan itu antaranya berpunca daripada cadangan yang dihantar kepada pihak berkenaan turut memasukkan perkara-perkara tidak perlu.
“Kalau penaja bagi duit, mereka nak ia digunakan untuk pembangunan sukan dan tidak hendak lihat ia digunakan untuk bayar gaji atau guna untuk bukan-bukan.
“Sama seperti kita juga yang beri geran padanan sukan 30-40 juta setahun, kita ada buat penilaian senarai perbelanjaan mereka. Kadang ada dalam cadangan itu perkara yang kita rasa tidak perlu,” katanya dalam siar pod SAMBANG di platform YouTube Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) semalam.
Dalam pada itu, Hannah menyifatkan pelepasan cukai sukan bernilai RM1,000 meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan menjadi pengubah keadaan industri sukan negara.
Malah, beliau gembira apabila pelepasan cukai itu diperluas kepada golongan ibu bapa pembayar cukai bermula tahun hadapan.
“Jika anda pembayar cukai, bukan sahaja anak bakal mendapat manfaat ini tetapi juga ibu bapa, datuk nenek mereka.
“Sebab kita nak ada sukan untuk semua golongan dan ini pengubah keadaan yang kita perjuangkan,” katanya.
Sementara itu, ditanya berkenaan perancangan bagi 2025, Hannah berkata beliau mahu memberikan tumpuan kepada pembangunan belia dan Rakan Muda.
Dalam masa sama, beliau juga akan melancarkan sebuah taska di Kuala Lumpur Sport City bagi golongan atlet yang mempunyai anak. – Bernama