LAHAD DATU, 20 DIS – Seekor gajah Pygmy jantan ditemukan mati oleh seorang pekerja di kawasan ladang sawit di Jalan Silam, di sini semalam.
Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Hairulnizam Hasnan berkata pekerja ladang itu menemukan gajah yang turut dikenali sebagai Gajah Borneo itu pada 1 tengah hari dan kemudian membuat laporan polis.
“Pihak JHL bergegas ke lokasi untuk pemeriksaan dan siasatan. Gajah itu ditemukan mati tanpa ada kesan kecederaan yang boleh dilihat, selain sudah mula mereput.
“Bedah siasat ke atas gajah ini akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian sama ada disebabkan oleh faktor semula jadi atau elemen lain,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diharap tampil bagi membantu siasatan pihak berkuasa.
Hairulnizam berkata kejadian itu mencetuskan kebimbangan terhadap ancaman populasi kerana haiwan berkenaan adalah spesies terancam terutama di Sabah.
Gajah Borneo atau Elephas maximus borneensis diklasifikasikan sebagai ‘terancam’ dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) disebabkan populasinya yang mengecil dan semakin berkurangan.
IUCN mendedahkan terdapat hanya 1,000 ekor jumlah keseluruhan populasi Gajah Borneo dengan kira-kira 400 ekor dewasa yang boleh membiak.- Bernama