YANGON, 30 OKT – Mo Mo, seekor gajah Asia paling tua di Taman Zoologi Yangon di Myanmar, meraikan ulang tahunnya yang ke-69 kelmarin.
Ketika kanak-kanak dan pengunjung lain menyanyikan lagu sempena ulang tahunnya, haiwan tertua zoo Yangon itu mengunyah pelbagai buah-buahan dan sayur-sayuran yang disusun dalam bentuk kek segi empat tepat.
“Kami meraikan ulang tahun kelahirannya setiap tahun sejak 2013, dengan hiasan boleh dimakan dan kek besar diperbuat daripada buah-buahan dan sayuran,” ketua Taman Zoologi Yangon, Kyaw Ye Thiha Pe berkata.
Mo Mo telah hidup lebih lama daripada jangka hayat biasa gajah Asia selama 50 tahun, katanya.
Menurut beliau, gajah betina itu tidak pernah mempunyai pasangan dan telah berada di Zoo Yangon sejak 1961 apabila ia dibawa dari negeri Kayah.
Penjaga zoo itu berkata, Mo Mo mementingkan kebersihan kerana ia tidak suka minum air kolam sebaliknya lebih suka air paip.
Apabila penglihatan dan giginya menjadi semakin lemah, zoo berkenaan memutuskan untuk memberinya makan buah-buahan lebih lembut seperti pisang, katanya.
“Kami menjaganya dengan baik supaya ia dapat hidup lebih lama,” ujarnya lagi. – Xinhua
