Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Galas amanah sebaiknya

    Oleh Yusrin Junaidi & Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Rombakan menteri-menteri kabinet yang diumumkan melalui titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertujuan untuk menjaga kepentingan setiap kementerian dan kemaslahatan rakyat jelata dengan lebih baik.

    Dengan rombakan dan pelantikan menteri-menteri kabinet ini, beberapa wajah baharu diberikan amanah untuk memimpin kementerian masing-masing bagi mencapai matlamat untuk membangunkan negara ke arah Wawasan Brunei 2035.

    “Syukur Alhamdulillah, sebagai rakyat yang taat dan patuh kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, saya percaya langkah rombakan kabinet ini adalah untuk yang terbaik,” kata Dr Najib Noorashid yang merupakan penyelidik bahasa di Universiti Brunei Darussalam dalam temu bual bersama Media Permata, mengenai rombakan dan pelantikan menteri-menteri kabinet baharu.

    Dalam pada itu, katanya lagi, kini kita juga menerima lantikan seorang menteri wanita pertama dalam sejarah negara.

    “Saya percaya Yang Berhormat Menteri Pendidikan akan menggalas amanah untuk memimpin dan terus mengekalkan pendidikan yang berkualiti tinggi sebagai wahana usaha membangunkan generasi alaf baharu, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

    Dr Najib percaya langkah rombakan dan lantikan menteri kabinet adalah untuk yang terbaik.

    “Ini kerana kita lazimnya mengetahui bahawa sistem pendidikan negara memerlukan usaha-usaha strategik yang boleh meningkatkan keupayaan dan kemampuan praktikal ke tahap optimum dan cemerlang agar dapat menangani cabaran-cabaran abad ke-21,” ujarnya.

    Oleh itu, dengan rombakan kabinet kali ini, beliau menyatakan harapan agar negara akan terus maju dari segi kualiti pendidikan, taraf kehidupan dan kemapanan ekonomi, sekali gus merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

    “Kita sebagai rakyat wajar terus memberi sokongan padu terhadap kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan mendoakan segala langkah yang dijalankan adalah untuk kebaikan dan kebajikan negara dan rakyat jelata,” tambah beliau.

    Manakala itu, seorang peniaga, Slyvester Lim mengalu-alukan berita pelantikan wajah-wajah baharu untuk menerajui kementerian masing-masing dan berharap mereka akan memberi sinergi baharu bagi memantapkan lagi hala tuju serta strategi kementerian ke arah mencapai matlamat pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat serta penduduk negara.

    Beliau turut menyatakan perasaan optimis bahawa menteri-menteri kabinet yang dilantik akan melaksanakan amanah yang dikurniakan kepada mereka dengan baik dan berusaha membawa negara ke era pembangunan yang lebih maju serta mampan.

    Sebagai seorang usahawan, dia berharap agar dapat melihat lebih banyak peluang untuk mengembangkan perusahaannya dalam negara dan dengan sokongan daripada pihak kerajaan untuk membuka peluang bagi lebih banyak perusahaan tempatan meneroka serta memasuki pasaran luar.

    Slyvester turut menyatakan harapan pembangunan kemahiran generasi muda akan terus diberikan keutamaan supaya negara akan terus mempunyai barisan pelapis pemimpin negara masa akan datang yang berwawasan serta berpendidikan.

    Sementara itu, seorang pesara, Haji Nursalam Abdullah ketika dihubungi Media Permata menjunjung kasih atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi pengurniaan rombakan kabinet yang telah Baginda isytiharkan pada 7 Jun lalu.

    Beliau berkata semoga hasrat Baginda Sultan yang menekankan mengenai amanah akan digalas dengan penuh tanggungjawab, dedikasi, lutanan dan jujur serta dengan ilmu dan empati terhadap segala keperluan bagi pembangunan dan kemajuan negara dan seluruh rakyat jelata dalam semua peringkat dan usia terutamanya anak-anak watan.

    “Dengan pembaharuan kabinet kerajaan Baginda Sultan menyelusur ambang wawasan negara 2035, hendaknya akan lebih fokus ke arah memajukan dan mengutamakan kepada pemedulian anak-anak tempatan dalam segala peringkat, terutamanya para belia.

    “Seperti mengutamakan pemberian peluang-peluang pekerjaan berbanding warga asing untuk mengisi segala-gala peringkat jawatan yang wujud di bumi bertuah ini sama ada dalam sektor kerajaan mahu pun sektor swasta dan begitu juga skim atau ruang serta peluang galakan dalam bidang perniagaan, penternakan, perikanan, pembuatan produk, pengangkutan dan sebagainya mengikut bidang kelulusan atau kemahiran mereka masing-masing secara menyeluruh 100 peratus padu supaya tiada yang tercicir atau ketirisan,” ujarnya lagi.

    Beliau berharap ia akan lebih terbuka memandangkan rakyat dan penduduk terutamanya belia terbukti mempunyai kualiti dan potensi mereka tersendiri.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...