KOTA KINABALU, 31 DIS – Lebih 400 spesies kupu-kupu yang diawet kering ditempatkan dalam bilik koleksi BORNEENSIS Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, untuk tatapan mereka yang berminat dengan serangga berkenaan.
Kurator Kanan Galeri BORNEENSIS Petherine Jimbau berkata antara spesies yang dipamerkan di Galeri BORNEENSIS termasuk sepasang kupu-kupu kebangsaan Rajah’s Brooke (Trogonoptera brookiana) yang tersenarai dalam Apendiks II CITES.
Beliau berkata di bahagian pameran pula dipaparkan poster kupu-kupu negeri Sabah iaitu Kalibambang Emas atau nama saintifiknya Troides Andromache, selepas ia dipilih sebagai kupu-kupu rasmi negeri Sabah pada 13 September tahun lepas.
“Kupu-kupu yang diawet itu diperoleh hasil daripada penyelidikan, kerja lapangan dan ekspedisi kakitangan, pensyarah serta pelajar untuk dijadikan sebagai rujukan penyelidik dari dalam dan luar negara malah ada yang disumbangkan rakan penyelidik luar negara,” katanya kepada Bernama. – Bernama