Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Galeri memperingati penubuhan BIBD

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Sempena ulang tahun ke-30, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) melancarkan Galeri Kenang-kenangan Ulang Tahun ke-30 BIBD pada majlis yang berlangsung di Galeri Seni, Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Galeri tersebut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, juga selaku Pengerusi BIBD.

    Galeri kenang-kenangan itu menampilkan peristiwa penting sepanjang 30 tahun penubuhan bank berkenaan bermula dari pelancaran rasmi Islamic Bank of Brunei Berhad (IBB) oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 13 Januari 1993 sehingga penggabungan IBB dan Bank Pembangunan Islam Brunei (IDBB) menjadi BIBD pada tahun 2005 dan berkembang sehingga ke hari ini.

    Hadir pada pelancaran itu ialah pengerusi dan ahli-ahli Badan Penasihat Syariah BIBD, ahli Lembaga Pengarah BIBD, pengurusan kanan dan kakitangan.

    Menyentuh mengenai mercu tanda yang dicapai oleh BIBD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew berkata, “Bagi pihak Lembaga Pengarah, Badan Penasihat Syariah, pengurusan dan kakitangan BIBD dan kumpulan syarikatnya, kami ingin merafakkan sembah menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kepimpinan dan bimbingan Baginda selama ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa menyaksikan pameran di galeri tersebut, kelmarin.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika melancarkan Galeri Kenang-kenangan Ulang Tahun ke-30 BIBD di Galeri Seni, Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan, kelmarin.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyaksikan salah satu pameran yang diadakan.

    Salah satu pameran yang diketengahkan di galeri berkenaan.

    “Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua di BIBD atas pencapaian penting ini serta pelanggan kami atas sokongan mereka selama ini.

    “BIBD akan terus melabur bagi kakitangan kami, sistem IT, dan dalam proses kami. Dalam pada itu, kami akan terus peka terhadap sumbangan kepada masyarakat selain membantu negara membangunkan ekonominya,” tambah beliau.

    Turut hadir ialah hampir 60 orang kakitangan BIBD yang telah berkhidmat lebih
    30 tahun dan menyaksikan perkembangan bank daripada sebuah bank konvensional kepada bank Islam dan transformasi kepada sebuah institusi kewangan pada masa
    sekarang.

    Orang ramai dialu-alukan untuk mengunjungi galeri berkenaan dan mengambil bahagian dalam permainan interaktif dan aktiviti pendidikan yang disediakan.

    Galeri berkenaan akan berlangsung selama tiga bulan dan orang ramai juga berpeluang untuk menyertai pelbagai aktiviti pendidikan dan interaktif yang akan disediakan.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda