Saturday, May 4, 2024
25.1 C
Brunei

    -

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL – Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik separa di tapak tersebut, kata pengendali TEPCO.

    Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) berkata dalam satu kenyataan bahawa sistem untuk menyejukkan reaktor kekal beroperasi dan ‘tiada perubahan bermakna’ telah dikesan di kemudahan loji yang memantau radioaktiviti itu.

    Pada 2011, loji Fukushima-Daiichi di pantai timur laut Jepun mengalami kerosakan besar selepas gempa bumi besar dan tsunami yang mengorbankan 18,000 orang. Ia adalah salah satu bencana nuklear terburuk dalam sejarah.

    “Pada sekitar 10:43 pagi, talian sumber elektrik A berhenti,” kata kenyataan TEPCO tanpa memberikan butiran.

    Pelepasan air yang dirawat melalui proses penapisan dipanggil ALPS juga berhenti pada masa yang sama, katanya.

    Gambar Freepik

    TEPCO menambah seorang pekerja telah cedera semasa operasi penggalian namun dia masih sedar, tidak dicemari dan sedang mendapatkan pemeriksaan doktor di lokasi.

    “Kami cuba mendapatkan butiran lain, nampaknya terdapat kaitan antara gangguan elektrik ini dan penggantungan operasi ALPS,” beritahu jurucakap TEPCO kepada AFP.

    Tahun lepas, Jepun mula melepaskan air sisa terawat dari loji itu ke Lautan Pasifik setelah kemudahan itu kehabisan ruang untuk membina lebih banyak tangki air dengan memberikan alasan air yang dilepaskan secara beransur-ansur selama beberapa dekad tidak berbahaya dan banyak dicairkan dengan air laut.

    Pelepasan ini telah disokong oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan banyak ekonomi terkemuka yang lain.

    Namun China, disertai Rusia mengharam semua import makanan laut Jepun. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...