PHNOM PENH, 23 JAN – Empat orang maut akibat rempuhan dan sesak nafas pagi tadi semasa orang ramai berkumpul di kediaman seorang taikun terkenal di Phnom Penh untuk menerima angpau sempena Tahun Baharu Cina (TBC), menurut pihak polis.
Gambar dan rakaman video yang dikongsi oleh media tempatan menunjukkan ratusan orang bersesak-sesak menuju ke pagar besar milik Sok Kong, seorang sekutu rapat bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen.
“Taikun Sok Kong mengagihkan angpau pagi ini dan ramai orang datang ke rumahnya dengan harapan untuk menerima sumbangan,” kata jurucakap Polis Phnom Penh, Sam Vicheka, kepada AFP.
“Beberapa warga emas yang mempunyai masalah kesihatan jatuh semasa rempuhan dan setakat ini, empat orang iaitu dua lelaki dan dua wanita disahkan meninggal dunia,” tambahnya.
Lima orang lagi sedang menerima rawatan di hospital akibat kecederaan dalam insiden tersebut.
Jumlah wang dalam setiap angpau tidak dinyatakan, tetapi ia adalah tradisi yang sering diamalkan oleh keluarga kaya di Kemboja menjelang TBC.
Sok Kong, yang meraih kekayaan melalui perniagaan petrol dan membina empayar hiburan serta hospitaliti, merupakan salah seorang individu terkaya di Kemboja.
Media tempatan melaporkan bahawa gabenor Phnom Penh dan Sok Kong telah berjanji untuk memberikan pampasan sebanyak 15 juta riel (kira-kira AS$3,700) kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia, manakala sekitar AS$1,000 akan diberikan kepada setiap individu yang cedera. – AFP