LONDON, 6 OGOS – Bekas tonggak pertahanan Liverpool, Mark Lawrenson menggesa Jurgen Klopp membuat pembelian besar dengan membawa Gareth Bale (gambar bawah) ke Anfield sebelum pasaran perpindahan ditutup, Khamis ini.
Kedudukan bintang Wales itu bersama Real Madrid masih tidak menentu, dan Lawrenson berharap Reds mengorak langkah untuk mendapatkan Bale. Pemain sayap berusia 30 tahun itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United dan Tottenham selepas berada dalam senarai ‘tidak diingini’ pengurus Real, Zinedine Zidane.
Dia juga dikatakan menerima tawaran lumayan bernilai 1.2 juta pound seminggu dari kelab di China tetapi menolak untuk beraksi dalam Liga Super negara itu.
“Saya percaya, Klopp adalah jurulatih terbaik yang boleh membantu Bale memberikan permainan sebenar.
“Masalah utama pemain ini, dia tidak diletakkan di posisi yang tepat, jadi Liverpool boleh menggunakannya di sayap kiri atau tengah dalam rangkaian tiga penyerang.
“Dia adalah pemain yang memiliki bakat besar dan amat bagus, Klopp pasti tahu bagaimana hendak menggunakan pemain seperti ini,” kata Lawrenson kepada Daily Mail.
Masa depan Bale di Santiago Bernabeu tampak kelam kerana Zidane berulang kali mendedahkan, dia mahu melepaskan pemain tersebut.
Bagaimanapun gaji Bale yang terlalu tinggi iaitu 350,000 juta pound menjadi halangan utama buat pasukan lain untuk membelinya. – Agensi