Thursday, October 10, 2024
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gaza telah ‘berubah sepenuhnya’

    WASHINGTON, 10 OKT – Semenanjung Gaza digambarkan sebagai ‘tidak lagi dapat dikenal pasti’ dengan tiada penghujung kepada keganasan yang melanda Timur Tengah, kata Ketua Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) kelmarin, menurut laporan Agensi Anadolu.

    “Tiada penghujung terhadap keganasan yang melanda wilayah itu. Ia menjadi setahun penuh kehilangan dan penderitaan mendalam,” kata Philippe Lazzarini semasa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di wilayah Palestin.

    Gaza menjadi tanah perkuburan bagi puluhan ribu orang, termasuk ramai kanak-kanak dan hampir keseluruhan penduduknya hilang tempat tinggal. Merujuk kepada situasi di Tebing Barat yang diduduki, Lazzarini memberi amaran tentang keganasan yang semakin meningkat, dengan hampir 700 orang terbunuh sejak setahun lalu dan lebih 160 daripada mereka adalah kanak-kanak. Lazzarini turut menegaskan bahawa Lubnan adalah mangsa terbaharu konflik yang semakin meluas.

    “Orang awam menanggung harga yang sangat tinggi. Serangan udara oleh tentera Israel membunuh dan menyebabkan ratusan ribu orang hilang tempat tinggal,” katanya.

    Beliau menekankan kepentingan UNRWA di Gaza, sambil memberi amaran bahawa ruang operasi agensi itu semakin mengecil di tengah-tengah serangan Israel. – Bernama

    Seorang lelaki mendukung kanak-kanak berjalan melepasi bangunan runtuh di kem Bureij di tengah Semenanjung Gaza kelmarin. Gaza berubah sepenuhnya menurut UNRWA. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda