Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Gaza terus berdarah

    SEMENANJUNG GAZA, 28 JAN – Pertempuran hebat berlaku di Gaza hari ini di tengah-tengah perbalahan sengit agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menjadi tanda tanya bagi masa depan pelarian Palestin.

    Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres telah menyeru negara-negara penderma untuk menjamin aliran bantuan penting ke Gaza selepas beberapa negara menghentikan pembiayaan kepada agensi itu, UNRWA, berhubung dakwaan Israel bahawa beberapa kakitangan-nya terlibat dalam serangan 7 Oktober.

    Tentera Israel hari ini berkata pasukan khas terus terlibat dalam ‘pertempuran intensif’ di bandar utama selatan Gaza, Khan Younis, di mana ia berkata tentera menghapuskan ‘pengganas dan menemui sejumlah besar senjata’.

    Serangan juga dilakukan di tengah dan utara Gaza, tambahnya.

    Ketika pertempuran hebat menyebabkan lebih ramai orang melarikan diri ke selatan menuju ke sempadan Mesir, perselisihan mengenai agensi bantuan UNRWA untuk pelarian Palestin semakin mendalam.

    UNRWA berkata pada Jumaat ia telah memecat beberapa pekerja atas tuduhan Israel yang tidak dinyatakan mengenai penglibatan beberapa kakitangannya dalam serangan Hamas pada 7 Oktober.

    Penderma termasuk Jerman, Britain, Itali, Australia dan Finland kelmarin mengikuti keputusan Amerika Syarikat, yang mengatakan ia telah menggantung pembiayaan tambahan kepada agensi itu atas tuduhan tersebut.

    “Walaupun saya memahami kebimbangan mereka – saya sendiri berasa sangat terkejut dengan tuduhan ini – saya sangat merayu kepada kerajaan yang telah menggantung sumbangan mereka untuk, sekurang-kurangnya, menjamin kesinambungan operasi UNRWA,” kata Guterres lewat kelmarin.

    Beliau berkata ‘perbuatan yang didakwa menjijikkan’ oleh beberapa kakitangan UNRWA itu tidak sepatutnya bermakna bahawa beribu-ribu pekerja kemanusiaannya yang lain harus dihukum. – AFP

    Penduduk Palestin melarikan diri daripada serangan darat Israel di Khan Younis, Semenanjung Gaza, pada 27 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...