Tuesday, February 11, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gegar Vaganza 11 milik Liza Aziz

    Liza Aziz menepati ramalan ramai apabila dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim 11 (GV11) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Kuala Lumpur, malam tadi.

    Menurut Hmetro, kemenangan itu melayakkan penyanyi berusia 61 tahun itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro, anugerah Terpaling Adabi RM3,000 dan barangan Adabi bernilai RM500.

    Sebelum itu, Liza turut menerima gelaran Ikon Super Lit CelcomDigi hasil undian peminat.

    Menerusi konsert akhir bertemakan ‘It’s Final’ itu, Liza membawakan lagu solo I Surrender nyanyian asal Celine Dion, diikuti lagu duet bersama Kris Dayanti berjudul Cinta, manakala lagu Angkat pada segmen Rap Battle bersama Zehra Zambri, Ning Baizura dan Sheila Abdul.

    Gelaran naib juara menjadi milik Ning Baizura yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi, manakala tempat ketiga menjadi milik Sheila Abdul dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 berserta trofi.

    Sementara itu Dadali Dyrga, Zehra Zambri dan The Lima pula masing-masing berpuas hati di tempat keempat, kelima dan keenam dengan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 berserta trofi.

    Enam finalis itu diadili juri tetap Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi popular Indonesia, Hetty Koes Endang.

    GV11 dikendalikan Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.

    Sementara itu, Taufik Batisah, Pasha Ungu, Datuk Jamal Abdillah, Dolla dan juara All Star Gegar Vaganza, Jaclyn Victor antara yang hadir memeriahkan lagi pentas akhir itu. – Agensi

    Liza Aziz semasa bergandingan bersama Kris Dayanti. – Hmetro
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda