Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Gembira, syukur pintu sempadan kembali dibuka

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Tarikh 1 Ogos 2022 merupakan satu tarikh yang dinanti-nanti bagi penduduk dan rakyat di Negara Brunei Darussalam dan negara jiran apabila aktiviti rentas sempadan darat dan laut disambung semula.

    Tinjauan wartawan awal pagi tadi di Pos Kawalan Sungai Tujoh, rata-rata orang ramai meluahkan rasa gembira melihat sempadan kembali dibuka.

    Zulfahmi bin Azali, warga Malaysia yang menetap di Kampung Panaga, Kuala Belait, meluahkan rasa bersyukur dan gembira kerana kini dibenarkan untuk merentas sempadan bagi perjalanan tidak mustahak.

    Sementara itu, Awang Bahri yang menetap di Kampung Serusop berkata ini merupakan kali pertama dia berkunjung ke Miri sejak penularan pandemik dan merancang untuk membeli-belah di sana.

    Sementara itu di Pos Kawalan Imigresen Sementara Kuala Lurah menyaksikan keadaan lalu lintas terkawal dan lancar di mana jumlah kenderaan yang keluar dan masuk dari pos kawalan tersebut masih lagi sedikit.

    Kenderaan-kenderaan yang beratur di Pos Kawalan Sungai Tujoh kelihatan teratur dan keadaan trafik lancar semasa tinjauan oleh pihak media, kelmarin.
    Pengembara semasa mengeluarkan dokumen untuk diperiksa di pos kawalan sementara Kuala Lurah.
    Dayang Durratul Aini mengingatkan orang ramai untuk memastikan tidak membawa barangan tegahan dan yang bersubsidi bersama semasa keluar masuk sempadan.
    Haji Jalani menasihatkan orang ramai yang ingin membuat perjalanan ke luar negara melalui jalan darat supaya dapat mematuhi segala arahan yang telah ditetapkan bagi memudahkan dan melicinkan segala proses keluar masuk sempadan.
    Keadaan Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh di Kuala Belait pada hari pertama pembukaan sempadan pagi kelmarin.

    Meskipun ini merupakan hari pertama pembukaan sempadan melalui jalan darat bagi apa jua jenis perjalanan, jumlah kenderaan yang melintasi pos kawalan imigresen yang sedikit berkemungkinan disebabkan hari bekerja dan dijangkakan akan bertambah menjelang hujung minggu nanti.

    Pada hari yang sama, pintu-pintu sempadan darat Brunei dan Malaysia di Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh di Kuala Belait, Komplex Kawalan dan Pemeriksaan Ujung Jalan dan Pos Kawalan Imigresen Sementara Labu Daerah Temburong turut dibuka serentak.

    Biarpun bilangan pergerakan pengembara di pintu-pintu sempadan tidak begitu sesak namun ia jelas sekali amat bermakna kepada ahli keluarga yang terpisah akibat penutupan pintu sempadan sebelum ini.

    Ketua Pegawai Pos Kawalan Imigresen Sementara Kuala Lurah, Haji Jalani bin Haji Othman semasa ditemui pihak media pagi tadi menasihatkan kepada orang ramai yang ingin membuat perjalanan ke luar negara melalui jalan darat supaya dapat mematuhi
    segala arahan yang telah ditetapkan bagi memudahkan dan melicinkan segala proses keluar masuk sempadan.

    Beliau turut mengongsikan bahawa jumlah kenderaan agak kurang berbanding sebelumnya yang berkemungkinan disebabkan terdapatnya kemudahan baharu seperti Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) yang membolehkan para pengembara menggunakan jalan alternatif yang lain.

    Sementara itu, Haji Jalani menyentuh mengenai kepentingan bagi mendapatkan sijil insurans perubatan perjalanan yang meliputi perlindungan COVID-19 bagi mereka yang ingin membuat perjalanan keluar dan masuk melalui jalan darat.

    Timbalan Penguasa Kastam, Pos Kawalan Kuala Lurah Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Dayang Durratul Aini binti Haji Abdul Khan semasa ditemui menyatakan bahawa pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) menyeru orang ramai untuk melengkapkan dokumen bagi proses permohonan Caj Perkhidmatan (CaP) dan Exit & Entry System (EES) secara dalam talian sebelum membuat perjalanan bagi mengelakkan kesesakan di pos kawalan.

    Walau bagaimanapun, pihak JKED turut menyediakan kiosk bagi memudahkan orang ramai melengkapkan pendaftaran, permohonan dan pembayaran CaP dan mendapatkan pas EES mereka.

    Pada masa yang sama, timbalan penguasa kastam tersebut turut memperingatkan orang ramai untuk memastikan tidak membawa barangan tegahan dan yang bersubsidi bersama semasa keluar masuk sempadan di samping itu, mana-mana barangan yang dibawa masuk hendaklah diisytiharkan terlebih dahulu seperti barangan kosmetik, elektronik dan
    sebagainya.

    Port Health, Kementerian Kesihatan turut berada di Pos Kawalan Imigresen Sementara Kuala Lurah bagi memastikan orang ramai untuk memenuhi syarat vaksinasi dan menyediakan dokumen-dokumen yang sah seper-ti rekod vaksinasi dan perlindungan
    insurans.

    Merinyu Kesihatan di Kementerian Kesihatan, Dayangku Hani Mastika binti Pengiran Haji Sulaiman semasa ditemui turut menasihatkan orang ramai yang ingin membuat perjalanan agar dapat menyediakan segala dokumen kesihatan mereka yang mana digalakkan untuk dicetak terlebih dahulu bagi memudahkan pihak Kementerian Kesihatan menyemak dokumen mereka dan seterusnya melancarkan proses pemeriksaan dijalankan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...