Thursday, October 17, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa bumi berukuran 5.9 magnitud gegar Turkiye

    ISTANBUL, 16 OKT – Banyak kawasan di timur Turkiye digegarkan oleh gempa bumi berukuran 5.9 magnitud hari ini walaupun tiada laporan segera mengenai kecederaan, kata pegawai.

    Gegaran iu berlaku pada 10:46 pagi di Kale di Malatya, wilayah yang teruk dilanda gempa bumi berukuran 7.8 magnitud pada 6 Februari 2023, meragut lebih 53,500 orang di Turkiye dan hampir 6,000 di negara jiran, Syria.

    “Setakat ini, tiada kehilangan nyawa mahupun kerosakan harta benda susulan gempa bumi berukuran 5.9 magnitud,” kata agensi pengurusan bencana AFAD negeri di X.

    Tidak lama selepas itu, Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya berkata tiga bangunan sebahagiannya runtuh di tiga kawasan berasingan dan perkhidmatan kecemasan telah menerima puluhan panggilan yang memohon bantuan.

    Pegawai tempatan di Malatya juga menyatakan bahawa tiada perkembangan negatif yang dilaporkan pada peringkat ini, walaupun gabenor wilayah berkata semua sekolah rendah dan menengah akan ditutup hari itu.

    Gegaran kuat dirasai di beberapa bandar besar di wilayah itu, termasuk Diyarbakir yang terletak kira-kira 140 kilometer ke tenggara, menurut wartawan AFP di lapangan.

    Apabila merasakan gegaran itu, penduduk di beberapa bandar segera bergegas ke jalan raya, menurut gambar yang disiarkan oleh stesen televisyen Turkiye. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda