Monday, February 3, 2025
27.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gempa bumi gemparkan penduduk pulau Santorini

    ATHENS, 2 FEB – Pulau percutian popular di Greece, Santorini digegarkan oleh siri gempa bumi beberapa hari kebelakangan ini, menyebabkan pihak berkuasa menutup sekolah pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman, dpa.

    Penduduk pulau gunung berapi itu diingatkan untuk tidak berada di kawasan pantai yang berisiko terjadinya tanah runtuh.

    Satu kenyataan majlis bandar raya Santorini turut menyatakan semua acara di ruang tertutup perlu dibatalkan. Setakat ini, tiada kerosakan besar dilaporkan.

    Menurut institut seismologi bandar pelabuhan utara Greek, Thessaloniki, kebanyakan gempa bumi berlaku di bawah dasar laut antara pulau Santorini dan Amorgos.

    Kekuatan gegaran adalah antara 3 hingga 4.5, dengan kecenderungan meningkat, bermakna tiada pengesahan yang keadaan sudah selamat, kata ahli seismologi Gerasimos Papadopoulos, yang turut menyatakan, “Dengan peningkatan magnitud, risiko gempa bumi juga meningkat.” – Bernama

    Pemandangan umum menunjukkan Three Bells of Fira, Gereja Katolik Dormition, di perkampungan Fira di pulau Santorini, Greece pada 19 Julai 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda