Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Gempa bumi landa Filipina, kerosakan kecil dilaporkan

    MANILA, 16 FEB – Gempa bumi kuat telah menggegarkan wilayah tengah Filipina hari ini, memaksa penduduknya keluar dari rumah mereka pada waktu malam manakala puluhan pesakit dipindahkan dari sebuah hospital.

    Gempa bagaimanapun hanya mengakibatkan kerosakan kecil pada sebuah stadium kerajaan dan premis perniagaan, menurut pihak berkuasa.

    Tiada laporan segera bagi kecederaan atau kerosakan yang serius daripada gempa bumi sekuat 6 magnitud yang disebabkan oleh sesar tempatan pada kedalaman 10 kilometer, kira-kira 11 kilometer di barat bandar pantai Batuan di wilayah Masbate, menurut pegawai.

    Gempa bumi berlaku kira-kira dua jam selepas tengah malam, membangunkan orang ramai daripada tidur mereka, kata pegawai mitigasi bencana wilayah Masbate, Adonis Dilao.

    “Gegaran pertama sangat kuat diikuti oleh gegaran yang membangunkan saya dan anak damit saya,” kata pegawai Palang Merah, MJ Oxemer kepada Associated Press (AP) melalui telefon dari ibu kota wilayah, Masbate City. “Kami boleh mendengar bunyi deram-derum dari tanah,” tambahnya.

    Puluhan pesakit dari hospital wilayah Masbate dipindahkan tetapi kemudian kembali semula selepas gempa bumi menyebabkan beberapa keretakan pada bangunan tiga tingkat tersebut. Sebahagian daripada siling di stadium kecil kerajaan di Masbate City juga rosak, kata Dilao.

    Retakan juga dilihat pada tiang konkrit beberapa premis perniagaan, termasuk kedai runcit dan farmasi di kawasan pusat Masbate City serta di beberapa rumah, kata Dilao kepada AP melalui telefon. – AP

    Gambar serahan oleh Pejabat Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Masbate menunjukkan kerosakan ke atas stadium Maggalanes di wilayah Masbate selepas gempa bumi melanda awal 16 Februari. – AP
    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...