YANGON, 6 APRIL – Hujan lebat menambah kesengsaraan dan menyukarkan usaha bantuan di Myanmar, ketika media kerajaan melaporkan jumlah kematian akibat gempa bumi dahsyat kini meningkat hampir 3,500 orang, hari ini.
Gempa sekuat 7.7 magnitud yang melanda pada 28 Mac lalu telah memusnahkan bangunan, memutuskan bekalan elektrik, serta merosakkan jambatan dan jalan di seluruh negara itu.
Kerosakan paling teruk dilaporkan di bandar Sagaing, berhampiran pusat gempa, serta Mandalay – bandar kedua terbesar di Myanmar dengan lebih 1.7 juta penduduk.
Media milik kerajaan yang dikuasai junta tentera kini mengesahkan sebanyak 3,471 kematian, 4,671 orang cedera dan 214 masih hilang akibat bencana tersebut.
Ramai penduduk kini terpaksa tinggal di khemah selepas kehilangan rumah atau enggan berada di dalam bangunan yang retak dan tidak stabil.

Menurut Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP), kira-kira 45 minit hujan lebat dan angin kencang melanda khemah-khemah sementara di Mandalay pada petang kelmarin “Orang ramai dan barang-barang mereka dibasahi kerana kekurangan kain terpal,” kata Tun Tun, pakar program UNDP kepada AFP.
Kebimbangan turut timbul bahawa bangunan yang musnah akan terus runtuh, menyukarkan usaha mencari mayat mangsa.
Meskipun hujan renyai pada pagi tadi, suhu dijangka mencecah 37 darjah Celsius, tambah Tun Tun, yang menyifatkan cuaca sebagai ‘sangat ekstrem’, dengan ramalan hujan akan turun.
Pakar bantuan memberi amaran bahawa gabungan cuaca panas dan basah boleh mencetuskan penularan penyakit di kem-kem sementara yang sesak dan kekurangan kemudahan asas.
Ketua bantuan PBB, Tom Fletcher, dalam video yang dirakam di Mandalay dan dimuat naik ke platform X hari ini, berkata bekalan makanan, air bersih dan kerja pembaikan elektrik amat diperlukan segera.
Beliau turut menyatakan bahawa ramai penduduk masih tiada tempat berteduh dan menggambarkan skala kemusnahan di kawasan itu sebagai ‘epik’.
“Kita perlu segera mendapatkan khemah dan memberi harapan kepada mangsa sementara mereka membina semula hidup mereka yang hancur,” tulis Fletcher. – AFP