Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Geotapak Eko Rimba destinasi terbaik aktiviti riadah bersama keluarga

    KANGAR – Geotapak Eko Rimba Bukit Ayer di sini menjadi destinasi terbaik bagi aktiviti riadah bersama keluarga sambil menikmati suasana tenang dengan keindahan alam semula jadi untuk penduduk tempatan mahupun pengunjung yang bercuti ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

    Terletak di Sungai Batu Pahat iaitu kira-kira 12 kilometer dari pusat bandar Kangar, destinasi itu juga memiliki daya tarikan tersendiri antaranya rimba herba Perlis dan kolam untuk pengunjung mandi-manda, selain aktiviti lasak seperti All Terrain Vehicle (ATV) serta merentas hutan.

    Tinjauan Bernama di Geotapak Eko Rimba sempena bermulanya Tahun Melawat Perlis baru-baru ini mendapati orang ramai mengambil kesempatan membawa keluarga untuk mandi-manda secara percuma di kolam semula jadi, manakala bayaran RM5 bagi dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak serta percuma kepada kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah di kolam buatan.

    Pengunjung, Toyibah Abdullah, 30, dari Kluang, Johor, berkata dia bersama keluarga bercuti ke Perlis sejak seminggu lepas dan pertama kali datang ke Geotapak Eko Rimba.

    “Bagi saya alam semula jadi di sini sangat menarik tidak sama seperti tempat lain, ia juga dilengkapi kemudahan seperti surau, tandas dan bilik mandi selain terdapat peniaga makanan yang harga jualan mereka amat berpatutan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Geotapak Eko Rimba Bukit Ayer menawarkan pengalaman kepada pengunjung yang bercuti ke negeri itu sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang membuka tirainya pada 1 Januari lalu. – Bernama
    Pengunjung boleh menggunakan kolam semula jadi di situ secara percuma manakala kolam buatan sendiri dikenakan bayaran. – Bernama

    Bagi penduduk tempatan, Sharina Mat, 52, dari Kangar berkata kawasan Geotapak Eko Rimba itu kini lebih baik berbanding dahulu dengan dilengkapi pelbagai kemudahan asas dan mesra pengguna.

    “Saya sering datang ke sini bersama keluarga sejak 1982, dan banyak perubahan berbanding dulu terutama dari segi kemudahan asas yang lebih baik untuk orang ramai meluangkan masa dan beriadah dalam keadaan selesa,” katanya.

    Sementara itu, Pegawai Hutan Daerah Perlis Selatan, Mohd Zohdi Shihabuddin berkata aktiviti menarik lain bakal ditawarkan kepada pengunjung di Geotapak Eko Rimba ialah kemudahan ‘glamping’ bermula pertengahan Januari ini.

    Mengenai kolam buatan pula, beliau berkata pihak Jabatan Perhutanan Perlis mengambil inisiatif membina kolam itu yang dilancarkan pada awal tahun 2022 untuk merancakkan lagi aktiviti riadah orang ramai.

    “Dulu hanya ada kolam semula jadi yang airnya berpunca dari Bukit Ayer, tetapi disebabkan ada waktu tertentu air dari bukit tidak ada, jadi kami mengambil langkah membina kolam yang dikhaskan untuk orang dewasa dan kanak-kanak untuk mandi-manda,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...