Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Gigih siapkan sarapan percuma untuk lebih 500 pelajar

    KUALA LUMPUR – Seawal 4 pagi dan ketika kebanyakan penduduk sedang lena diulit mimpi, Pengasas D’Dapor Al-Hafiz, Hafizah Mohamed Yatim sudah memerah keringat bagi menyediakan sarapan percuma kepada lebih 500 pelajar sekolah dan anak asnaf.

    Rutin harian tanpa sebarang upah itu dilakukan Hafizah, 51, atau lebih mesra disapa ‘ibu’, sejak dua tahun lepas di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 dekat sini, apabila melihat ramai ibu bapa yang majoritinya daripada kumpulan B40 terkesan akibat pandemik COVID malah ada yang kehi-langan punca pendapatan.

    “Pada mulanya, ibu masak secara gotong-royong untuk dihidangkan kepada anak-anak yatim ketika Rama-dan, lepas itu pemberian makanan diteruskan kepada lebih 1,000 orang ketika pandemik COVID.

    “Apabila keadaan kembali normal, ibu tukar bagi sarapan kepada pelajar sekolah dan anak asnaf. Matlamatnya supaya mereka dapat ke sekolah, kerana jika kelaparan mereka tidak akan ke sekolah dan ini boleh menjejaskan pelajaran,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

    Hafizah yang juga panel pengurusan jenazah Hospital Shah Alam bagi kes kritikal berkata bekalan sarapan percuma itu dikhususkan kepada pelajar dan anak asnaf daripada keluarga B40 di PPR berkenaan.

    Pengasas D’Dapor Al-Hafiz, Hafizah Mohamed Yatim menyiapkan sarapan pagi percuma kepada lebih 500 pelajar sekolah dan anak asnaf setiap pagi di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang.
    Pengasas D’Dapor Al-Hafiz, Hafizah Mohamed Yatim (kiri) mengagihkan sarapan pagi percuma kepada lebih 500 pelajar sekolah dan anak asnaf setiap pagi di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang. – Bernama
    Hafizah yang telah terlibat dengan aktiviti kebajikan sejak 1998 berkata setiap hari lebih RM500 dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan memasak dan semuanya itu disumbangkan oleh seorang individu yang tidak mahu dikenali. – Bernama
    Hafizah Mohamed Yatim menyusun makanan yang akan diagihkan kepada lebih 500 pelajar sekolah dan anak asnaf setiap pagi di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang. – Bernama

    “Ibu akan mula masak sendiri  sekitar 4 pagi kemudiannya berehat sebentar untuk menunaikan solat Subuh di masjid Ara Damansara yang hanya beberapa meter dari premis D’Dapor Al-Hafiz.

    “Selepas selesai, dengan bantuan dua sukarelawan, sarapan mula diagihkan kepada pelajar dan anak asnaf sehingga 7:30 pagi. Bahkan anak asnaf yang telah dikenal pasti oleh ahli qariah juga akan diberikan wang saku RM2 seorang ke sekolah,” kata Hafizah yang berasal dari Selama, Perak.

    Antara menu yang disediakan Hafizah yang juga bekas tukang masak sekolah ialah mi goreng, nasi goreng, nasi lemak dan kuetiau goreng dan hidangan yang disediakan itu lengkap dengan telur dan lauk pauk seperti udang dan ayam.

    Hafizah yang telah terlibat dengan aktiviti kebajikan sejak 1998 berkata setiap hari lebih RM500 dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan memasak dan semuanya itu disumbangkan oleh seorang individu yang tidak mahu dikenali.

    “Tiada kutipan derma daripada orang ramai, hanya infaq daripada seorang dermawan untuk semua urusan perbelanjaan D’Dapor Al-Hafiz dari hari Selasa hingga Jumaat, hari Isnin adalah sumbangan daripada orang ramai.

    “Saya juga tidak mengambil upah kerana apa yang saya buat kerana ikhlas ingin bantu orang. Dulu pun saya sekeluarga pernah hidup susah sampaikan rumah kena lelong, suami sakit jadi saya tahu penderitaan orang yang hidupnya kais pagi kais petang,” kata wanita yang mempunyai tiga anak itu dan telah kematian suami tahun lepas akibat komplikasi pelbagai penyakit.

    Sementara itu, seorang penduduk Norhayati Musa, 46, yang juga kematian suami berkata usaha yang dilakukan Hafizah itu telah memberi manfaat kepada ratusan kanak-kanak di flat berkenaan termasuk anaknya, Irman Firhan Mohamad Aiman, 15.

    “Dari awal pagi lagi, ibu akan maklumkan melalui ‘WhatsApp Group’ menu yang ada. Anak-anak sudah tentu jadi bersemangat untuk ke sekolah kerana ada pihak yang menyediakan sarapan pagi, menunya pula sentiasa bertukar-tukar dan tidak membosankan,” katanya yang berniaga pakaian kanak-kanak. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Presiden Iran rasmi projek hidrokuasa dan pengairan Sri Lanka

    COLOMBO, 24 APRIL — Presiden Iran, Ebrahim Raisi tiba di Sri Lanka hari ini untuk merasmikan projek hidrokuasa dan pengairan yang telah lama tertangguh...