Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Gigih usahakan perusahaan manisan warisan keluarga

    MARANG – Usia tua dengan kudrat semakin berkurangan tidak menjadi penghalang kepada pasangan suami isteri, Mohd Azam Ismail, 70, dan Esah Adam, 68, meneruskan perusahaan manisan atau lebih dikenali sebagai gula melaka, yang dimulakan mereka sejak 40 tahun lalu.

    Mohd Azam berkata dia menggagahkan diri meneruskan pembuatan manisan itu di Kampung Batangan, di sini demi memastikan kelangsungan perusahaan yang dianggap sebagai seni warisan keluarga.

    Bukan itu sahaja, dia turut mengekalkan kaedah tradisional iaitu penggunaan dapur kayu bagi memelihara mutu dan keaslian rasa manisan yang diperbuat daripada air nira kelapa itu.

    “Bagi sesetengah orang, pembuatan manisan ini mungkin satu perniagaan biasa, tetapi bagi pak cik ia satu warisan keluarga yang diperturunkan sejak zaman nenek moyang lagi.

    “Jadi, selagi terdaya pak cik akan teruskan apatah lagi tujuh anak pak cik semuanya tidak berminat dan lebih selesa dengan pekerjaan moden,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Batangan, Marang.

    Mohd Azam Ismail memproses manisan (gula melaka) yang dimulakan sejak 40 tahun lalu ketika tinjauan di Kampung Batangan. – Bernama
    Sebahagian ‘kerek’ (daun mengkuang yang dilingkar menjadi bentuk bulat) semasa proses pembuatan gula melaka. – Bernama
    Esah Adam, 68, menuang manisan yang masih panas ke dalam ‘kerek’ (daun mengkuang yang dilingkar menjadi bentuk bulat) untuk disejukkan semasa proses pembuatan manisan (gula melaka).- Bernama
    Manisan yang masih panas akan dituang ke dalam ‘kerek’ (daun mengkuang yang dilingkar menjadi bentuk bulat) untuk disejukkan semasa proses pembuatan gula melaka di Kampung Batangan.- Bernama

    Menurut Mohd Azam proses pembuatan manisan yang agak rumit dan memakan masa menjadi antara penyebab perusahaan itu kurang diminati golongan muda.

    Katanya kerja-kerja mengambil air nira daripada pokok kelapa misalnya agak berbahaya dan memerlukan kemahiran tinggi.

    Selain itu, menurutnya air nira juga perlu dimasak antara enam hingga ke tujuh jam untuk memastikan ia mencapai tahap kepekatan yang diperlukan bagi mendapatkan manisan yang benar-benar kental dan berkualiti.

    “Alhamdulillah pada usia 70 tahun pakcik masih mampu untuk memanjat dan mengambil sendiri nira kelapa, cuma kalau permintaan terlalu banyak sebahagian air nira pak cik beli daripada penduduk kampung.

    “Masa muda dulu pernah juga jatuh pokok dan patah sana sini, tetapi pak cik anggap itu cabaran dalam usaha kita mencari rezeki,” katanya.

    Mohd Azam berkata selepas selesai dimasak, manisan yang masih panas akan dituang ke dalam ‘kerek’ (daun mengkuang yang dilingkar menjadi bentuk bulat) untuk disejukkan dan kemudian dijual.

    Katanya setiap minggu dia hanya mampu menghasilkan kira-kira 500 ‘kerek’ manisan untuk pelanggan tetap yang kebanyakannya datang dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.

    “Manisan ini pakcik hasilkan dalam dua gred iaitu yang asli hanya menggunakan air nira semata-mata tanpa dicampur gula dan satu lagi menggunakan campuran 50 peratus gula.

    “Harganya juga berbeza, untuk manisan asli dijual pada harga RM6 satu kerek manakala campuran gula hanya RM1.40 satu kerek,” katanya.

    Menurut Mohd Azam walaupun menerima permintaan yang tinggi terutama pada musim perayaan, sebahagiannya terpaksa menolak kerana kudratnya yang semakin terhad. – Bernama

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...