Tuesday, April 22, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gitar unik daripada cendawan

    PROVIDENCE, AMERIKA SYARIKAT – Biarkan spora cendawan dalam acuan selama beberapa minggu dan ia akan berkembang menjadi bahan gebu seperti keju brie, kata Rachel Rosenkrantz, pembuat gitar yang mementingkan kelestarian yang berinovasi dengan bahan bio.

    Sebelum ini, miseliumnya, struktur seakan-akan akar kulat yang menghasilkan cendawan, meniru kulit keju masak yang dikeringkan oleh Rosenkrantz menjadi bahan binaan yang ringan dan boleh terbiodegradasi – dalam kes ini, badan gitar.

    Pemuzik yang dilatih sebagai pereka industri ini memulakan kerjayanya sebagai pembuat alat muzik bertali – kira-kira sedekad yang lalu dan sejak beberapa tahun lalu telah menyepadukan miselium dan bahan biologi lain dalam usahanya untuk mencipta instrumen lebih mesra alam, tanpa plastik.

    Rosenkrantz tergelak kecil ketika dia memperkenalkan analogi ringkasnya yang juga merujuk kepada asal-usulnya di Perancis; pereka itu dibesarkan di Montfermeil, pinggir timur Paris, dan kini menetap berhampiran Providence di mana dia mengajar di Sekolah Reka Bentuk Rhode Island.

    Bengkel bawah tanah di pangsapurinya yang dipenuhi dengan tumbuhan dan buku adalah tempat asal kepada krafnya dan berfungsi sebagai makmal sains, tempat dia membangunkan bahan-bahan seperti kulit kombucha untuk membuat kepala banjo dan menggunakan kulit ikan untuk membuat bahagian luar badan gitar.

    Rosenkrantz memainkan ukulele yang diperbuat menggunakan miselium di studionya. – Gambar AFP
    Acuan miselium sebelum dan selepas dalam badan gitar di studio Rachel Rosenkrantz di Providence. – Gambar AFP
    Rosenkrantz mengisikan acuan dengan mise-lium dan sekam jagung untuk menghasilkan gitar di studionya. – Gambar AFP
    Gitar Honfleur dihiasi dengan kulit telur digantung di dinding studio Rosenkrantz. – Gambar AFP
    Gitar ‘Mycocaster’ yang dibuat daripada miselium dan kertas. – Gambar AFP
    Badan gitar yang dibuat menggunakan gentian basalt. – Gambar AFP
    Rosenkrantz memegang gitar ‘Pawtuxet’ yang dibuat menggunakan indung madu. – Gambar AFP

    “Dalam dunia reka bentuk, semua orang bekerja dengan bahan bio, ia adalah satu perkembangan pesat,” beritahu wanita berusia 42 tahun itu kepada AFP dari bengkelnya.

    “Ia bukan satu penyelesaian hipi lagi,” tambahnya sambil menunjuk kepada BMW yang telah menggunakan serat flaks dalam pembinaan papan pemuka, atau Hermes, yang telah menggunakan kulit yang berasal dari cendawan dalam pelapik dompet mereka.

    “Ia bukan khayalan seperti lima tahun lalu. Ia sebenarnya dapat dilakukan.”

    Potensi

    Pembuat gitar secara tradisinya membina gitar dengan kayu termasuk pokok sedar, rosewood, mahogani dan eboni, bergantung pada kualiti nada yang dicari.

    Kayu sudah tentu juga boleh terbiodegradasi, tetapi isu termasuk penebangan pokok berlebihan telah mendorong pembuat seperti Rosenkrantz membuat pilihan yang lebih mampan, mengembalikan semula kayu dan mendapatkan sumber daripada kayu tempatan.

    “Adakah kita benar-benar perlu menggunakan spesies yang sama seperti 400 tahun lalu, kerana siapa yang benar-benar bermain muzik seperti 400 tahun dahulu? Beberapa pelajar di Juilliard,” katanya merujuk kepada konservatori elit Manhattan.

    “Ini adalah industri yang saya rasa disebabkan ia berasaskan kraf, terdapat banyak perkara seperti ‘bagaimana keadaan sepatutnya berlaku,'” ujarnya, sambil menambah kayu seperti poplar atau buluh telah lama diabaikan tetapi boleh menawarkan peluang baharu.

    “Bagaimana jika ia adalah gabungan gitar yang masih bagus, jadi kami tidak membuang keseluruhan instrumen?” kata Rosenkrantz.

    “Kami perlu mengawasi dan melihat potensi dalam perkara yang berbeza.”

    ‘Bunyi cendawan’

    Cue mycelium, rangkaian kulat yang terletak di bawah kulat yang kita kenali sebagai cendawan.

    Ia mudah tumbuh, mudah dibentuk dan mudah diganti walaupun sekiranya ia mula hancur berkecai dan boleh dijadikan instrumen akustik dan elektrik.

    Dan dari segi bunyi? Gitar cendawan Rosenkrantz dibuat berlapis dan ditala halus, dan tidak berbunyi seperti gitar tradisional.

    Ia mungkin berbunyi sengau, tetapi penuh dengan kemungkinan.

    “Idea itu tercetus apabila saya melihat pada pembungkusan, sejak cendawan telah digunakan untuk menggantikan polistirena yang popular sebagai konduktor bunyi yang baik disebabkan ia penuh dengan udara,” katanya.

    Pereka bentuk itu mendapati miseliumnya juga mengalirkan bunyi – ‘tetapi ia mempunyai timbre yang berbeza. Jadi ia tidak berbunyi seperti sesuatu yang janggal sebelum ini.’

    “Ia hanya bunyi baharu,” tambahnya. “Ia tidak akan menggantikan kayu sedar kerana ia bukan sedar.”

    Dia mendapati bahan cendawan lazimnya berfungsi paling baik dengan format elektrik: “Terdapat melodi biasa, jadi bunyinya seperti gitar elektrik biasa, dan terdapat juga mikrofon lain yang boleh didapati dalam cendawan itu.”

    “Maka awda boleh menukar berapa banyak bunyi cendawan yang awda mahukan.”

    Bantu projek

    Beberapa gitar Rosenkrantz ditempah khas dibuat sepenuhnya daripada kayu, dan yang lain menyepadukan bahan bio yang lebih bersifat eksperimen.

    Memandangkan masa yang diperlukan untuk membuat gitar unik dari awal, instrumennya dijual pada harga permulaan AS$6,000.

    Tetapi apabila ia membabitkan prototaip berasaskan cendawan, “impian saya adalah mendengar syarikat besar berkata, ‘Marilah kita menghasilkannya, 50 dolar, setiap kanak-kanak boleh memilikinya,” kata Rosenkrantz.

    “Sesetengah pelajar tidak mampu membeli instrumen… bagaimana jika itu boleh menjadi penyelesaiannya? Misalnya Fender, jika awda boleh menimbangkannya,” katanya sambil tersenyum.

    Kebanyakan hasil karya Rosenkrantz didorong oleh rasa ingin tahu: dia memelihara lebah dan melatihnya untuk membina karya seni gitar dengan memberikan lebah pendakap instrumen – bahagian ‘yang membimbing bunyi dan memberikan sedikit kekerasan pada instrumen.’

    Pendakap itu meniru bar atas sarang, dan ‘lebah berkomunikasi melalui sarang pada 309 hertz, yang berada dalam julat gitar,’ jelasnya. “Jadi kami akan membuat sarang lebah yang merupakan penyebar bunyi semula jadi.”

    Dan ia berfungsi: lebah membina sarang di sepanjang strukturnya, memakan madu pada musim sejuk, dan meninggalkan Rosenkrantz dengan gitar bersih yang bergema.

    Projek itu kurang menekankan penggunaan masa depan dan lebih banyak mengenai keindahannya,” katanya, satu lagi ujian untuk mencari bahan bio berkualiti akustik.

    Rosenkrantz berharap penerokaan tersebut dapat membantu membina masa depan yang lebih mampan: “Saya sedang bereksperimen untuk membantu usaha itu.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda