LONDON, 18 APRIL – Pengeluar ubat Britain, GlaxoSmithKline (GSK) hari ini mengumumkan pembelian firma pakar rawatan batuk kronik Kanada, Bellus dengan harga AS$2 bilion.
Ia berlaku selepas GSK, yang diketuai oleh Ketua Eksekutif, Emma Walmsley, mengasingkan unit penjagaan kesihatan penggunanya, Haleon tahun lepas, meninggalkan kumpulan itu untuk memberi tumpuan kepada ubat-ubatan.
GSK telah bersetuju untuk membeli biofarmaseutikal berpangkalan di Quebec, Bellus Health Inc pada harga AS$14.75 sesaham, katanya dalam satu kenyataan.
Batuk kronik, ditakrifkan sebagai batuk berterusan selama lebih daripada lapan minggu, menjejaskan kira-kira 28 juta orang di seluruh dunia.
Walaupun tiada ubat yang diluluskan di Kesatuan Eropah atau Amerika Syarikat, rawatan Bellus di bawah pembangunan klinikal, Camlipixant, dijangka menerima kelulusan kawal selia dan dilancarkan pada tahun 2026.
“Pesakit yang mengalami batuk kronik refraktori yang teruk boleh mengalami lebih 900 batuk setiap hari, mengakibatkan isu kualiti hidup,” kata Ketua Pegawai Komersial GSK, Luke Miels dalam kenyataan itu.
“Camlipixant berpotensi untuk menjadi rawatan terbaik dalam kelasnya dengan potensi jualan yang memberangsangkan,” tambahnya. – AFP