Friday, November 15, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    GM tarik balik 462,000 kenderaan diesel akibat masalah transmisi

    NEW YORK, 14 NOV – General Motors (GM) menarik balik hampir 462,000 trak pikap dan SUV enjin diesel susulan masalah transmisi yang boleh menyebabkan roda belakang terkunci, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan, lapor media Amerika Syarikat kelmarin.

    Penarikan balik itu melibatkan model-model tertentu seperti Cadillac Escalade, Chevrolet Suburban, Chevrolet Tahoe, GMC Yukon dan Yukon XL keluaran tahun 2021, menurut Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA). Ia juga meliputi model Chevrolet Silverado dan GMC Sierra keluaran tahun 2020 hingga 2022.

    Jumlah kenderaan yang berpotensi terjejas dianggarkan 461,839 unit.

    Beberapa model terbabit didapati mempunyai injap kawalan transmisi yang mudah mengalami kehausan berlebihan, menyebabkan penurunan tekanan dalam injap dan pergerakan tidak dijangka, menurut dokumen yang dikeluarkan oleh badan kawal selia keselamatan itu. Penarikan ini bagaimanapun tidak melibatkan kenderaan berenjin petrol yang menggunakan transmisi berbeza, lapor The Washington Post.

    Pemilik kenderaan terlibat akan menerima notifikasi mulai 9 Disember dan mereka juga boleh menghubungi NHTSA melalui talian keselamatan kenderaan atau laman web rasmi agensi tersebut. Pihak pengedar akan memasang perisian baharu untuk memantau kehausan berlebihan serta mencegah masalah terkunci pada roda. Manakala kos pembaikan akan ditanggung sepenuhnya oleh GM. – Xinhua

    Sebuah trak Chevrolet Silverado 2500 HD Custom 2024 dipamerkan di Pameran Auto Antarabangsa Pittsburgh di Pittsburgh. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda