BARCELONA, 2 OKT – Penyudah hebat daripada Robert Lewandowski telah membawa Barcelona menerajui kedudukan di La Liga buat sementara selepas kemenangan 1-0 menentang Real Mallorca, kelmarin.
Marc-Andre ter Stegen berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi dalam lima perlawanan berturut-turut di liga, bersama dengan rembatan hebat Lewandowski pada minit ke-20, sudah cukup memadai untuk meletakkan Barcelona satu mata di hadapan Real Madrid, yang akan menjadi tuan rumah kepada Osasuna, malam ini.
Terdahulu, Atletico Madrid melakar kemenangan 2-0 selepas membenam Sevilla, sekali gus memberikan tekanan ke atas Julen Lopetegui.
Gol jaringan Marcos Llorente dan Alvaro Morata melonjakkan kedudukan Atletico ke tangga keenam, sementara pasukan tuan rumah kini berada di ke kedudukan ke-16, satu mata berada di zon penyingkiran.
Di Mallorca, pasukan bimbingan Xavi Hernandez menunjukkan bahawa mereka mampu memperbaiki permainan yang menyebabkan mereka dilanda terlalu banyak masalah musim lalu, memperbaiki permainan dari segi pertahanan dan semasa menyerang, dengan Lewandowski mengetuai pasukan.
Jurulatih Barca mencatatkan rekod domestik baharu dengan merekodkan 18 perlawanan liga berturut-turut tanpa kalah di gelanggang lawan, berjaya memintas rekod yang dicatat oleh bekas pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane.
Ter Stegen, yang memulakan musim ini dengan prestasi hebat, berjaya memecahkan rekod peribadi 500 minit tanpa bolos di La Liga.
Sementara itu, Lewandowski menerajui carta penjaring terbanyak di Sepanyol dengan sembilan gol daripada tujuh perlawanan, selepas menjaringkan gol lencong untuk memecahkan kebuntuan menentang Mallorca. – AFP
