Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Golongan susah dipeduli

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 APRIL – Sebanyak 17 buah rumah di keempat-empat daerah dikunjungi untuk menyampaikan sumbangan sempena Program Kembara Amal Ramadan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), kelmarin.

    Program berkenaan merupakan usaha KKBS untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan dengan kerjasama daripada pelbagai pihak yang berkepentingan khususnya jaringan-jaringan kebeliaan dan kemasyarakatan.

    Hadir menyerahkan sumbangan bagi lima buah rumah di Daerah Brunei dan Muara selaku ketua rombongan kembara itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Turut menyertai rombongan ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.

    Bagi Daerah Belait, empat buah rumah telah dikunjungi yang diketuai oleh Setiausaha Tetap (Kesukanan) di KKBS, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

    Di Daerah Temburong, empat buah rumah dikunjungi yang diketuai oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

    Manakala itu, di Daerah Tutong, rombongan yang diketuai oleh Pemangku Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus, mengunjungi empat buah rumah.

    Turut menyertai rombongan-rombongan berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan dari KKBS. Para penerima sumbangan terdiri daripada penerima Bantuan Kebajikan Bulanan, Elaun Kurang Upaya, Pencen Umur Tua, anak-anak yatim dan penerima bantuan daripada Majlis Ugama Islam Brunei.

    Ia merupakan program tahunan KKBS sebagai inisiatif mendekati golongan belia dan masyarakat dengan aktiviti keagamaan dan kerja amal serta kesukarelawanan pada bulan penuh berkat ini.

    Antara tujuannya adalah sebagai sumbangan tenaga serta bantuan meringankan beban orang-orang susah selain untuk memberikan kegembiraan kepada mereka dalam sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang dengan penuh keriangan dan kesyukuran.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
    Dr Siti Norkhalbi bergambar ramai dengan penerima sumbangan.
    Pengiran Mohd Amirrizal semasa menyampaikan sumbangan di Daerah Belait.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda