Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gonzalo bantu Real Madrid menang

    LEGANES, 6 FEB – Penyerang muda Real Madrid, Gonzalo Garcia, menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-93 untuk membawa pasukannya ke separuh akhir Copa del Rey dengan kemenangan 3-2 di Leganes, semalam.

    Dua gol Juan Cruz membolehkan tuan rumah menyamakan kedudukan selepas jaringan awal Luka Modric dan Endrick buat juara Eropah itu di Stadium Butarque, Leganes.

    Ketika perlawanan di ambang masa tambahan, penyerang berusia 20 tahun, Gonzalo, menanduk masuk dekat dengan tiang gol selepas usaha cemerlang Brahim Diaz untuk membantu Madrid menang menjelang perlawanan besar menentang Atletico Madrid dan Manchester City.

    Madrid tampil tanpa Kylian Mbappe dan Jude Bellingham yang mengalami kecederaan kecil, dan memulakan perlawanan dengan pemain muda Jacobo Ramon dan Raul Asencio di benteng pertahanan susulan krisis kecederaan di posisi itu.

    “Gonzalo mencatat siri prestasi yang sangat baik dengan pasukan simpanan dan dia memberikan banyak sumbangan,” kata jurulatih Madrid, Carlo Ancelotti, kepada wartawan.

    Endrick (kanan) menanduk bola ke arah gawang semasa perlawanan suku akhir pertama Copa del Rey antara Club Deportivo Leganes dan Real Madrid di Stadium Butarque, Leganes pada 5 Februari. – AFP

    “Kami perlu berpuas hati dengan apa yang dilakukan oleh pemain muda ini… mereka amat bersedia, mereka mungkin kurang pengalaman tetapi mereka bertindak dengan sangat baik.”

    Madrid memulakan suku akhir dengan cemerlang dan seterusnya mendahului, dengan Modric menjaringkan gol pada minit ke-18 selepas usaha baik oleh pemain sayap yang semakin meningkat, Rodrygo.

    Penyerang muda Endrick menggandakan kelebihan Los Blancos dengan gol penyudah selepas bola terlepas kepadanya di dalam kotak.

    Leganes diberikan sepakan penalti disebabkan rembatan Cruz terkena tangan Jacobo.
    Cruz kemudian menyempurnakannya dengan sepakan rendah ke sebelah kiri Andriy Lunin, dengan penjaga gol Ukraine itu hampir mencapai bola.

    Madrid akhirnya menanggung akibat kerana melepaskan peluang apabila Cruz menjaringkan gol keduanya, dengan bantuan daripada Ferland Mendy.

    Namun, dengan masa tambahan hampir berakhir, Diaz menggelecek bola untuk melepaskan diri di bahagian kanan, sebelum melorongkan bola ke tiang dekat untuk menghasilkan gol kemenangan lewat buat pasukannya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda