LISBON, 1 Nov – Gonzalo Higuain menjadi wira Juventus selepas menjaringkan gol lewat untuk seri 1-1 dengan Sporting Lisbon awal pagi tadi, sekali gus mengekalkan mereka di depan kelab Portugal itu dalam Kumpulan D Liga Juara-Juara.
Higuain telah menjaringkan bagi pasukan pelawat selepas menerima hantaran daripada Juan Cuadrado pada minit ke-79.
Keputusan seri tersebut mengekalkan kelab Itali itu di tangga kedua dengan tujuh mata, tiga mata di depan Sporting dan tiga mata di belakang Barcelona dengan berbaki dua perlawanan.
Finalis tahun lepas, Juventus, mempunyai peluang untuk memastikan kemaraan mereka ke peringkat kalah mati dengan kemenangan, tetapi kini perlu berjuang untuk mendapatkan satu mata bagi meraih satu daripada dua slot dari kumpulan itu.
Dalam perlawanan lain kumpulan itu, Barcelona seri 0-0 dengan Olympiakos di Greece.
Sporting telah membuka jaringan dengan satu rembatan lewat dari dalam petak menerusi pemain tengah Brazil, Bruni Cesar pada minit ke-20 selepas percubaan Gelson Martins ditepis oleh penjaga gol Gianluigi Buffon.
“Kami bermain menentang pasukan yang terdiri daripada barisan pemain yang mempunyai kualiti teknikal hebat dan secara taktikalnya sangat kuat.”
Juventus didominasi oleh pasukan tuan rumah di separuh masa pertama, tetapi bermain dengan lebih baik di separuh masa kedua, mencipta banyak peluang gol di Stadium Jose Alvalade.
Penjaga gol Sporting, Rui Patricio terpaksa membuat beberapa aksi penyelamatan sukar bagi mengekalkan pasukannya di depan, tetapi tiada apa yang dapat dilakukannya apabila Higuain memasuki petak dan melepaskan rembatan di atas kepalanya untuk menyamakan kedudukan.
“Kami perlu terus tenang kerana kami telah membuat beberapa kesilapan dan mungkin tewas dalam perlawanan ini,” kata Cuadrado. “Semuanya kini dalam genggaman kami, kami hanya perlu menyelesaikan tugas ini.” – AP