Wednesday, April 23, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Google, Apple sepakat sekat Qaznet

    NUR-SULTAN, 23 OGOS – Google dan gergasi teknologi lain berkata bahawa mereka akan menyekat perakuan keselamatan Internet yang dikeluarkan oleh kerajaan autoritarian Kazakhstan kerana dikhuatiri ia mampu memintas data orang ramai.

    Bulan lepas, para pengguna telefon pintar di negara Asia Tengah itu telah dialihkan kepada satu laman sesawang yang memberitahu mereka untuk memuat turun ‘Qaznet’ kerajaan, mencetuskan kemarahan dalam talian.

    Kerajaan menegaskan bahawa perakuan itu adalah pilihan, tetapi salah sebuah syarikat di negara itu memberitahu para penggunanya bahawa ia adalah ‘perlu’ untuk memuat turunnya.

    Google berkata bahawa ia menyekat perakuan itu daripada perkhidmatan Chrome miliknya.

    “Ia adalah tidak sesuai bagi mekanisme ini digunakan bagi memintas lalu lintas Internet awam,” kata Google.

    Gambar bertarikh 1 Mei 2019 menunjukkan seorang lelaki melintasi papan nama Google di San Francisco. – AP

    Seorang jurucakap bagi Apple, yang mengendalikan web Safari, memberitahu AFP bahawa Apple telah ‘mengambil tindakan bagi memastikan perakuan itu tidak dipercayai oleh Safari dan para pengguna kami dilindungi daripada isu tersebut.

    “Apple percaya privasi adalah asas hak kemanusiaan,” kata jurucakap itu.

    Mozilla, yang mengendalikan Firefox, juga berikrar untuk menyekat Qaznet.

    Bekas Soviet Kazakhstan mempunyai rekod kebebasan bersuara dan hak asasi kemanusiaan yang lemah.

    Kementerian bagi Pembangunan Digital dan Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan (KNB) gagal dihubungi bagi mempertahankan perakuan keselamatan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda