SINGAPURA, 28 JAN – Singapura kan menganjurkan perlumbaan Formula Satu waktu malam untuk tempoh tujuh tahun lagi dari 2022 hingga 2028, menurut pengumuman penganjur kelmarin, selepas pandemik koronavirus menjejaskan acara dua tahun berturut-turut.
Perlumbaan yang diadakan di daerah kewangan Marina Bay telah dilangsungkan 12 kali sejak membuat penampilan sulung pada 2008 dan menarik 268,000 penonton ketika kali terakhir ia dianjurkan pada 2019.
Namun pandemik memaksa acara tersebut dibatalkan dari jadual perlumbaan pada 2020 dan 2021 ketika pihak berkuasa mengenakan sekatan ketat bagi membendung penularan wabak.
Singapura merupakan perlumbaan waktu malam pertama dalam jadual Formula Satu, menawarkan litar jalanan yang diadakan di tengah-tengah bandar.
Penganjur berkata ini adalah kali keempat kontrak diperbaharui untuk Singapura dan lanjutan selama tujuh tahun adalah yang paling lama dalam perlumbaan setakat ini.
“Ini akan memberikan Singapura persembahan yang lebih lama untuk memenuhi permintaan ketika sekatan perjalanan antarabangsa semakin pulih,” kata GP Singapura dan Lembaga Pelancongan Singapura dalam kenyataan bersama.
Singapura secara perlahan-lahan membuka semula sempadan dan mengurangkan sekatan domestik bagi kebanyakan warganya yang lengkap divaksinasi. – AFP
