Friday, December 1, 2023
29.6 C
Brunei

    -

    Green digantung lima perlawanan

    LOS ANGELES, 16 NOV – Bintang Golden State, Draymond Green, dikenakan penggantungan lima perlawanan kelmarin selepas memukul kepala Rudy Gobert dari Minnesota semasa kekalahan Warriors kepada Timberwolves, kata NBA.

    Green hilang kawalan dalam beberapa minit pertama permainan pada Selasa di San Francisco, mencengkam leher Gobert dan mengheretnya melintasi gelanggang setelah pergaduhan melibatkan Klay Thompson dari Warriors dan Jaden McDaniels dari Minnesota.

    Naib Presiden Eksekutif NBA, Joe Dumars berkata dalam kenyataan Green diberikan hukuman tanpa bayaran kerana ‘mencetuskan pergaduhan di gelanggang’ dan bergelut dengan Gobert dengan cara ‘yang tidak menunjukkan semangat kesukanan dan berbahaya’.

    Dumars menambah rekod disiplin Green yang bermasalah juga diambil kira semasa menentukan tempoh penggantungannya.

    NBA juga menambah Thompson, McDaniels dan Gobert juga dikenakan denda sebanyak AS$25,000 setiap seorang.

    Draymond Green cuba menarik perhatian penonton. – AP

    Green akan memulakan penggantungannya esok apabila Warriors menjadi tuan rumah kepada Oklahoma City Thunder.

    NBA berdepan desakan yang meningkat untuk mengenakan hukuman berat ke atas Green kelmarin. Gobert juga telah mengikut serta siri kecaman yang dilemparkan.

    “Saya harap liga akan melakukan apa sahaja yang perlu dilakukan kerana itu adalah tingkah laku bodoh,” kata Gobert.

    Hukuman Green bukanlah yang terbaharu dalam sejarah, tetapi merupakan salah satu daripada banyak insiden yang melibatkan dirinya dengan pihak ketua disiplin NBA selama bertahun-tahun.

    Pemain berusia 33 tahun itu, yang juga disingkirkan dalam kekalahan Warriors kepada Cleveland pada Sabtu lalu, juga digantung semasa playoff pada April selepas memijak pemain Sacramento Kings, Domantas Sabonis, semasa perlawanan separuh akhir.

    Dia juga dikeluarkan dari siri playoff Warriors 2021 dan 2022 menentang Memphis Grizzlies selepas bertembung dengan Brandon Clarke.

    Dia juga digantung semasa perlawanan kelima Pusingan Akhir Final NBA 2016 menentang Cleveland Cavaliers kerana menumbuk LeBron James. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Semakin ramai pelajar Korea mahu jadi doktor kerana gaji tinggi

    SEOUL, 1 DIS - Pendapatan tinggi telah menjadi sebab utama pelajar sekolah rendah dan menengah di Korea Selatan memilih menjadi doktor perubatan sebagai laluan...