Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Global Shapers Community Bandar Seri Begawan Hub (GSCBSB) telah memulakan penggal baharunya dengan majlis penyerahan tugas kurator di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, baru-baru ini.
Hadir bagi menyaksikan penyerahan berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari, kurator pengasas, Shaun Hoon dan ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang dijemput.
Pada majlis itu, Wan Afifi bin Wan Ali yang merupakan kurator sesi 2020/2021 telah menyerahkan tugas kepada Awang Syahmi Zulfadhli bin Abdullah selaku kurator sesi 2021/2022 manakala itu, Dayang ‘Atiyah Hana Kaflee selaku naib kurator.
Dalam ucapannya, Shaun Hoon menjelaskan bagaimana Hab Bandar Seri Begawan bermula dan berkembang sejak 2015.
Sementara itu, Wan Afifi pula mengetengahkan kepentingan mencari komuniti sokongan untuk mencapai tujuan bersama.

“Semua ini dapat dicapai dengan gabungan kekuatan, daya fikir dan keazaman setiap shaper yang secara sukarela menyumbangkan masa dan tenaga mereka ke arah tujuan bersama.
Saya berasa bangga kerana diperkasakan oleh pasukan shapers saya sendiri,” tambahnya beliau.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, misi GSCBSB adalah untuk memperkasakan kebolehkerjaan belia melalui peningkatan keupayaan dan pembangunan di peringkat akar umbi.
Pada tahun ini komuniti berkenaan meraikan ulang tahunnya yang ke-10.
Pada majlis itu, Awang Syahmi Zulfadhli telah menyampaikan Mani-festo Milenium Shapers Global, garis panduan komuniti yang disahkan yang menguraikan misi komuniti dan bagaimana mereka mendekati isu-isu.
Majlis turut mendengarkan laporan impak yang mengetengahkan projek-projek yang diungkayahkan oleh hab berkenaan dari 2019 hingga 2021 yang dibentangkan oleh Dayang Nurul Hazirah Haji Zainuddin selaku pegawai impak sesi 2021/22.
Di samping itu, majlis berkenaan turut mempamerkan koleksi projek-projek hab tersebut antaranya Skills for the Future: Cognitive Flexibility oleh Awang Nasri Tahir dan Curhat di Bawah Payung.