Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guardiola akui City lemah

    PARIS, 23 JAN – Pep Guardiola mengakui pasukan Manchester City ‘tidak dapat mengatasi’ Paris Saint-Germain (PSG) selepas mensia-siakan kelebihan dua gol setelah tewas 4-2 kepada pasukan Perancis itu kelmarin, sekali gus harapan mereka untuk mara dalam Liga Juara-juara semakin pudar.

    “Mereka lebih baik. Kami perlu menerimanya. Kami mempunyai peluang terakhir di tempat sendiri menentang Bruges. Kami akan melakukan segala-galanya di sana dan jika kami gagal bermakna kami tidak layak,” kata Guardiola kepada pemberita selepas perlawanan di Parc des Princes.

    City telah menguasai permainan apabila Jack Grealish dan Erling Haaland masing-masing menjaringkan gol pada awal separuh masa kedua.

    Bagaimanapun, Ousmane Dembele merapatkan jurang dan Bradley Barcola menyamakan kedudukan sejam kemudian buat PSG, yang kemudiannya mendahului menerusi tandukan Joao Neves pada minit ke-78 dan mengesahkan kemenangan pada masa kecederaan apabila Goncalo Ramos menjaringkan gol keempat mereka.

    PSG berada di atas City dalam kedudukan liga, meninggalkan pasukan Guardiola di tangga ke-25 daripada 36 pasukan dengan lapan mata daripada tujuh perlawanan.

    Hanya 24 pasukan teratas layak ke peringkat kalah mati, tetapi City menerima kunjungan Brugge dalam perlawanan fasa liga terakhir pada Rabu depan dan kemenangan dalam perlawanan itu sudah memadai untuk juara Eropah 2023 itu mara ke pusingan play-off.

    Sebelum itu, City menanti kunjungan Chelsea dalam Liga Perdana pada Ahad dalam perlawanan penting bagi perebutan kedudukan empat teratas dalam liga domestik.

    “Saya tahu ia akan menjadi sukar. PSG adalah pasukan yang luar biasa. Kami tidak dapat mengatasinya,” tambah Guardiola. – AFP

    Kevin De Bruyne (tengah) bersaing mendapatkan bola dengan Nuno Mendes semasa perlawanan bola sepak di Parc des Princes Stadium di Paris pada 22 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda