OTTAWA, 27 OKT – Gumpalan putih berketul-ketul yang terdampar di pantai wilayah kepulauan Atlantik Kanada, Newfoundland, selama beberapa minggu telah menarik perhatian penduduk tempatan dan membingungkan para saintis.
Gumpalan berlendir dan berspan dalam saiz sebesar pinggan makan telah ditemui oleh gelandangan di pantai pada awal September lalu di Placentia Bay, hujung selatan Newfoundland.
Beberapa orang telah memuat naik gambar di media sosial, bertanya sama ada sesiapa yang mengetahui tentang gumpalan itu. Respons diterima, ada di antaranya meramalkan kemungkinan ia adalah ketulan keju, najis makhluk asing atau hingus ikan paus.
“Adakah itu Olaf?” tulis Selina Stoyles, merujuk kepada watak manusia salji dalam filem Disney, Frozen.
Ada juga yang berpendapat bahawa ia mungkin adunan biskut sarapan yang dibuang atau lilin parafin dari kapal tangki yang dibersihkan dan dibuang ke laut. Mereka cuba membakar kepulan tersebut dan mendapati ia mudah terbakar.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa mereka memandang serius kemungkinan ancaman pencemaran terhadap alam sekitar pantai.
Pengawal Pantai Kanada telah menghantar pasukan tiga orang ‘untuk menilai keadaan’ dan mengumpul sampel gumpalan di pantai barat ibu negeri wilayah St John’s untuk ujian. – AFP