Saturday, January 4, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunung Ibu meletus, amaran penerbangan dikeluarkan

    JAKARTA, 31 DIS – Gunung Ibu di wilayah Maluku Utara, Indonesia, meletus awal pagi tadi, menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran penerbangan, menurut Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) negara itu.

    Letusan terbesar berlaku pada pukul 5:18 pagi waktu tempatan, dengan mengeluarkan abu yang mencapai ketinggian sehingga tiga kilometer ke udara. Asap tebal berwarna kelabu dilaporkan bergerak ke arah tenggara dan timur gunung berapi berkenaan.

    Penduduk yang tinggal berhampiran lereng gunung dilarang melakukan sebarang aktiviti dalam radius empat kilometer (km) dari kawah, manakala kawasan utara diperluaskan hingga 5.5 km. PVMBG turut mengesyorkan agar penduduk memakai pelitup muka, cermin mata gelap, dan pelindung hidung semasa melakukan aktiviti luar bagi melindungi diri daripada hujan abu gunung berapi.

    Gunung Ibu, yang terletak di Kabupaten Halmahera Barat, kini berada pada tahap amaran kedua tertinggi. Bagi mengurangkan risiko abu terhadap penerbangan, amaran tahap jingga Pemberitahuan Pemerhatian Gunung Berapi untuk Penerbangan (VONA) telah dikeluarkan, yang mengehadkan penerbangan dalam lingkungan lima kilometer dari gunung tersebut. Pesawat juga dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi kemungkinan gangguan akibat awan abu.

    Gunung Ibu, dengan ketinggian 1,325 meter, merupakan salah satu daripada 127 gunung berapi aktif di Indonesia. – Xinhua

    Gunung Ibu memuntahkan kepulan asap ke udara semasa letusan di Halmahera Barat, Indonesia, pada 13 Mei lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda