Monday, October 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gunung Marapi di Indonesia meletus

    PADANG, 27 OKT – Salah satu gunung berapi paling aktif di Indonesia meletus hari ini, mengeluarkan abu tebal setinggi 2,000 meter (m) tiga kali dan menyelubungi kampung dengan aliran lahar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

    Gunung Marapi, di daerah Agam di wilayah Sumatera Barat, terkenal dengan letusan mengejut yang sukar diramal kerana ia bukan disebabkan oleh pergerakan magma dalam, yang mengakibatkan gegaran di mana ia digambarkan pada monitor seismik.

    Ia mengeluarkan awan abu panas yang tersebar sejauh beberapa kilometer (km), meliputi kampung dan bandar berdekatan dengan sisa gunung berapi yang tebal, kata seorang pegawai Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi Indonesia di pos pemantauan Marapi, Ahmad Rifandi.

    Rifandi berkata gunung berapi setinggi lebih 2,900m itu kekal pada tahap kedua tertinggi daripada empat tahap berjaga-jaga sejak Januari, di mana pendaki dan penduduk kampung dalam lingkungan 3km dilarang untuk menghampiri kawasan tersebut disebabkan risiko lahar daripada gunung itu.

    Marapi meletus pada Disember 2023, telah membunuh 24 pendaki dan mencederakan beberapa yang lainnya dalam letusan berlaku secara tiba-tiba. Dua laluan pendakian di gunung itu telah ditutup sejak itu.

    Letusan hari ini berlaku lima bulan selepas hujan monsun yang telah mengakibatkan tanah runtuh dan lahar sejuk dari Gunung Marapi, menyebabkan sebatang sungai pecah tebingnya.

    Banjir turut melanda perkampungan lereng gunung dan menghanyutkan orang ramai serta berpuluh-puluh rumah, mengorbankan 67 orang.

    “Penduduk kampung masih dihantui oleh banjir kilat lahar sejuk ketika musim hujan tiba,” kata Rifandi.

    “Akan tetapi mereka telah belajar satu pengajaran penting tentang cara mengelak bahaya letusan,” tambahnya. – AFP

    Gambar fail menunjukkan Gunung Marapi semasa letusan dilihat dari daerah Tanah Datar di Sumatera Barat, Indonesia pada 7 Januari. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda