Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Guru aset utama capai wawasan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Guru adalah nadi utama dan tulang belakang kepada sistem pendidikan negara di mana dengan program perkembangan kapasiti yang disediakan dan sokongan berterusan Kementerian Pendidikan, para guru akan menjadi aset utama dalam membantu mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Harapan itu disuarakan oleh Pemangku Pengarah Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Dayang Masdiah binti Haji Tuah dalam ucapan penutupnya pada Majlis Penutup Program Induksi Tenaga Pengajar Baharu bagi 2023 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada peserta program induksi berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

    Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan dan kluster serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan.

    Dayang Masdiah dalam ucapannya menyatakan bahawa para peserta program telah menunjukkan dedikasi dan komitmen yang baik, semangat yang padu serta penyertaan yang aktif dalam mengikuti semua taklimat, bengkel dan aktiviti yang dijalankan sepanjang program selama lima hari itu.

    “Saya percaya, dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh, para peserta akan lebih bersedia dan bersemangat setelah kembali ke sekolah dan seterusnya memanfaatkan apa yang telah dipelajari melalui program ini, bukan sahaja di peringkat sekolah, malahan juga di sepanjang kerjaya sebagai seorang pendidik,” ujarnya.

    Majlis seterusnya menyaksikan lafaz Ikrar Guru beramai-ramai yang diketuai oleh salah seorang peserta program induksi, Awang Akmal Fauzan bin Abu Bakar.

    Seramai 120 orang tenaga pengajar yang terdiri daripada pegawai pelajaran bergaji hari melalui pengambilan Program Immersi dan Program Perantis serta pengambilan di bawah Jabatan Pendidikan Khas telah berjaya menamatkan program dan menerima sijil mereka di majlis itu.

    Awang Akmal Fauzan mengetuai lafaz Ikrar Guru di Majlis Penutup Program Induksi Tenaga Pengajar Baharu bagi 2023 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, ICC Berakas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda