BEIJING – Sejak kolej yoga India pertama ditubuhkan pada Jun 2015 di China di Yunnan Nationalities University, Kunming, ibu kota Wilayah Yunnan, sekumpulan guru-guru yoga India telah datang ke China dan cinta mereka terhadap negara ini semakin mendalam.
“Letakkan telapak tangan anda di depan dada anda dan posisi tulang belakang berada dalam kedudukan neutral,” kata seorang guru yoga India berusia 37 tahun, Subbulakshmi Velusamy kepada para pelajarnya.
Selepas menunjukkan beberapa pergerakan, dia memerhatikan pelajarnya dan memperbetulkannya.
Walaupun hanya beberapa orang yang menghadiri kelas tersebut semasa percutian musim panas, Velusamy masih menyampaikan kemahiran dan pengetahuannya dengan penuh semangat.
Setelah tinggal di China selama setahun setengah sejak 2015, Velusamy telah menyesuaikan diri dengan iklim dan suasana kehidupan di Kunming dan membina rangkaian sosialnya sendiri. Dia tahu di mana untuk membeli bahan-bahan dalam senarai ramuannya dan bagaimana untuk berkomunikasi dengan pelajarnya (seolah-olah dia seperti seorang warga tempatan).


Velusamy telah meraih hasil persahabatan di China. “Orang tempatan sangat ramah kepada saya, walaupun mereka mungkin merasa ingin tahu mengenai saya pada pandangan pertama. Mereka menunjukkan keramahan mereka dengan kasih sayang apabila mereka tahu yang saya ini berasal dari India,” katanya.
Sebelum datang ke China, Velusamy telah menonton banyak filem-filem Cina, terutamanya yang dibintangi oleh Bruce Lee dan Jackie Chan, yang telah memberi pengetahuan awal tentang negara ini.
Setelah menghubungi kerajaan tempatan buat beberapa kali, Velusamy kagum dengan kecekapannya.
Dia berkata bahawa pihak berkuasa Kunming hanya mengambil masa kurang dari seminggu untuk menangani perkara-perkara yang mengambil masa setengah bulan di India.
Melalui pengalamannya di Kunming, Velusamy telah menyaksikan perkembangan yang begitu pesat di bandar barat daya China itu. “Walaupun bandar-bandar di India juga berkembang pesat, namun Kunming telah melakukan usaha yang lebih baik dalam pelbagai metrik,” katanya.
Bagi pelan rancangan di masa hadapannya, dia berkata: “Jika boleh, saya ingin terus tinggal di China.”
Yatindra Amoli, seorang lagi guru yoga India di kolej tersebut, telah ketagih dengan budaya masyarakat India dan China.
Dia terkejut dengan persamaan antara dua budaya minoriti sama ada dari segi gaya hidup, tabiat pemakanan dan bahkan juga adat istiadat perkahwinan.
“Masyarakat China pada dahulunya pernah menghantar kebanyakan barang-barang mereka ke India seperti teh melalui Ancient Tea Horse Road (sebuah laluan perhubungan perdagangan di barat daya China, yang memanjang sehingga ke Asia Selatan). Sejarah perdagangan mungkin adalah sebahagian persamaan yang ada pada dua buah negara ini,” katanya.
Tai Chi, sebagai warisan masyarakat China, biasanya akan dibandingkan dengan yoga. Yunnan Nationalities University juga telah menubuhkan sebuah kolej Tai Chi, yang membantu mempromosikan kedua-dua seni ini dengan mempelajari setiap satunya.
“Tai Chi adalah kaedah meditasi yang terbaik dan boleh membantu kita untuk mempunyai lebih banyak prana (sebuah istilah dalam falsafah Hindu, iaitu bermakna kekuatan yang dapat memelihara kesemua kehidupan). Melalui latihan Tai Chi ini, kita dapat merasakan tenaga yang mengalir di dunia ini,” kata Amoli.
Setelah tinggal di sini selama satu setengah tahun seperti Velusamy, dia juga telah dilayan dengan ramah oleh warga masyarakat China.
Walaupun adanya ketegangan China-India baru-baru ini, rakan sekerja dan pelajarnya serta penduduk setempat tidak menjadikan isu tersebut sebagai satu penghalang. Dia memberitahu Xinhua bahawa beliau akan terus menyukai profesionnya dan China seperti biasa. – Xinhua