TOKYO, 23 JULAI – Erling Haaland menjaringkan dua gol ketika Manchester City bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan juara Liga J, Yokohama F Marinos 5-3 hari ini dalam perlawanan pertama mereka jelajah pramusim di Jepun.
John Stones, Julian Alvarez dan Rodri juga berjaya menemui sasaran pada aksi pertama mereka sejak melengkapkan treble bersejarah dengan memenangi perlawanan akhir Liga Juara-Juara bulan lalu.
Hanya empat pemain yang beraksi di final berkenaan diturunkan dalam kesebelasan utama dan selepas 27 minit mereka ketinggalan 0-1.
Anderson Lopes melakukan percubaan susulan yang memasuki jaring selepas Stefan Ortega menyelamatkan percubaan awalnya.
Pemain pertahanan kanan, Ken Matsubara menjadikan kedudukan 2-0 10 minit kemudian.
Stones merapatkan jurang untuk City pada minit ke-40, dengan tenang menyumbat masuk dari dalam kawasan penalti hasil hantaran Alvarez.
Dua minit kemudian, City menyamakan kedudukan apabila penjaga gol Marinos, Jun Ichimori melakukan kesilapan selepas mendapat tekanan daripada Kalvin Phillips dan Alvarez berada di kedudukan terbaik untuk menjaringkan gol.
City seterusnya akan menentang Bayern Munich pada Rabu di Tokyo.
Mereka kemudiannya akan ke Seoul untuk menentang Atletico Madrid. – AFP
