Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Seramai 431 orang graduan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), dalam pelbagai peringkat pengajian telah diraikan dengan pengurniaan ijazah dan diploma, pada Majlis Hafl Al-Takharruj ke-12 UNISSA yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UNISSA telah berkenan berangkat bagi mengurniakan ijazah dan diploma tersebut.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan ProCanselor UNISSA.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku pengerusi Majlis UNISSA dan Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat masuk ke Dewan Plenari, dengan didahului Bentara menjunjung Mushaf UNISSA di hadapan perarakan.


Perarakan masuk diiringi dengan alunan selawat dan qasidah (dikir) ‘Ahlan Bikum Sultanana’ dan kemudiannya diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’.
Majlis diimarahkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Surah Yasin bermula ayat 33 hingga 36, dibacakan oleh graduan Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Kehakiman), Awang Abdul Hafiz bin Haji Abdul Kadiroshman, yang telah mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Musabaqah Tilawatil Al-Quran anjuran Majlis Bahrain ASEAN serta Musabaqah Tilawatil Al-Quran Belia Kebangsaan.
Manakala bacaan Al-Hadith disampaikan oleh graduan Sarjana Muda Usuluddin, Awang Ahmad Shafie bin Aim.
Inti sari ayat-ayat suci Al-Quran dan Al-Hadith pula dibacakan oleh graduan Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Usul), Awang Mohammad Arif Al-Haziq bin Haji Abdul Rahman.
Pada majlis tersebut, Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah sebelum menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma kepada para graduan.
Terdahulu, rektor UNISSA dalam sembah alu-aluannya antara lain mengongsikan bahawa pada Hafl Al-Takharruj kali ini, Pusat Penyelidikan Halalan Tayyiban mengeluarkan graduan sulung melalui program Ijazah Sarjana Muda Sains Halal.
“Lulusan daripada program Ijazah Sarjana Muda Sains Halal ini diharapkan mampu menyumbang bakti ke arah memperkasakan lagi industri halal negara. Perkembangan ini sangat relevan dengan kepesatan industri halal global yang terus tumbuh berkembang dari tahun ke tahun,” sembahnya.
Di samping itu, beliau turut menyembahkan bahawa pada Hafl Al-Takharruj kali ini juga, UNISSA meraikan keluaran pertama bagi program Diploma Kebangsaan Daie dan Kepimpinan.
“Program akademik yang ditawarkan di bawah Fakulti Usuluddin dengan diselenggarakan oleh Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat ini merupakan salah satu platform dalam usaha UNISSA mendidik dan berganding bahu mempertajam kemahiran para daie serta dalam masa sama mengasah daya kepimpinan mereka,” jelas Dr Haji Norarfan.
Selesai sembah alu-aluannya, rektor UNISSA kemudiannya memaklumkan penerima-penerima pingat dan hadiah buku universiti serta para penyumbang. Hafl Al-Takharruj tahun ini menyaksikan seorang graduan menerima ijazah doktor falsafah, 38 graduan sarjana, 13 graduan diploma siswazah, 339 graduan menerima ijazah sarjana muda dan 40 graduan diploma.
Daripada jumlah tersebut, seramai22 graduan terdiri daripada pelajar antarabangsa iaitu dari Thailand, Indo-nesia, Maldives, Singapura, Malaysia, Republik Arab Mesir, Gambia dan Uganda.
Majlis tahun ini juga memperkenalkan graduan pertama Kursus Sarjana Muda Sains Halal seramai 74 orang dan Diploma Kebangsaan Daie dan Kepimpinan seramai 13 orang.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.