Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Halaqah pastikan isi ceramah sentiasa konsisten, relevan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Seramai 100 orang telah mengikuti Halaqah Bimbingan Da’ie ke-64 sempena Sambutan Israk dan Mikraj bagi Tahun 1444 Hijrah, bertajuk ‘Ke arah Kemantapan Da’ie yang Berkaliber’ yang diadakan di Dewan Persidangan, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), pagi tadi.

    Para peserta terdiri daripada warga Jabatan Agama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kementerian Pertahanan; Jabatan Hal Ehwal Masjid, Bahagian Kemajuan Syiar Islam, pensyarah dan penolong pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), pensyarah dan penolong pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), da’ie bertauliah Majlis Ugama Islam, serta para pegawai dan kakitangan PDI.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh. Program merupakan usaha untuk menyelaras isi kandungan ceramah agar isu atau tajuk yang akan disampaikan oleh para penceramah sentiasa konsisten dan relevan dengan peredaran masa dan zaman.

    Hadir selaku fasilitator jemputan bagi halaqah tersebut ialah Dekan Fakulti Pendidikan KUPU SB, Dr Muhammad Zahiri bin Awang Mat.

    Inti pati halaqah antara lain menyentuh ayat Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW mengenai peristiwa Israk dan Mikraj, ibrah dan pengajaran yang dapat diambil daripada perjalanan Baginda. Antaranya adalah tentang kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai insan teragung, hakikat kebenaran Israk dan Mikraj, kesucian Kota Madinah dan Baitulmaqdis, adab dalam kehidupan Muslim, nikmat bersyukur dan juga hakikat kewajipan sembahyang serta kepentingan dalam meraih reda Allah.

    Sejurus selesai pembentangan oleh fasilitator jemputan, sesi perbincangan dan soal jawab dibukakan kepada para peserta dan jemputan.

    Majlis halaqah terdahulu dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan surah Al-Fatihah, diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada fasilitator jemputan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

    Halaqah Bimbingan Da’ie ke-64 ini bertemakan ‘Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdoa Menghadapi Ujian: Sembahyang Meraih Reda Allah.’

    Haji Abdul Rajid semasa menghadiri halaqah bimbingan tersebut, kelmarin.
    Antara yang menyertai program halaqah tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda