Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Hamidin sangkal dakwaan Pan Gon sedia tinggalkan Harimau Malaya

    KUALA LUMPUR, 2 APRIL – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan badan induk itu tidak menerima apa-apa surat daripada ketua jurulatih Harimau Malaya Kim, Pan Gon yang dikhabarkan bersedia meninggalkan pasukan.

    Hamidin berkata dakwaan itu sebagai cubaan mencipta polemik susulan kekalahan 0-2 berturut-turut Malaysia kepada Oman pada aksi Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan lepas.

    “Berhubung isu ini, Pan Gon sendiri telah menafikan laporan berita yang memetik sumber menyatakan bahawa beliau telah menghantar surat kepada FAM dan bersedia untuk meninggalkan skuad Harimau Malaya,” katanya pada sidang media selepas Kongres Tahunan FAM ke-60 di Subang Jaya, semalam.

    Baru-baru ini, arena bola sepak Malaysia digemparkan dengan laporan berita bahawa Pan Gon dan barisan kejurulatihannya telah menghantar surat kepada FAM dan bersedia sekiranya terpaksa meninggalkan pasukan Malaysia andai khidmat mereka tidak diperlukan lagi.

    Namun, menerusi kenyataan di Facebook rasmi FAM pada hari yang sama, jurulatih dari Korea Selatan berusia 54 tahun itu menafikan laporan berita tersebut dan menyatakan komitmen beliau bersama pasukan sehingga kontraknya berakhir pada hujung 2025.

    Pan Gon berkata misi utamanya adalah membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan tempat lebih awal ke Piala Asia 2027.

    Sementara itu, Hamidin turut menafikan isu penolong jurulatih Pan Gon, Pau Marti Vicente telah meninggalkan pasukan selepas kelibatnya tidak kelihatan di bangku simpanan pada aksi menentang Oman di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada 26 Mac lepas. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...