BUDAPEST, 23 JULAI – Lewis Hamilton dengan perasaan penuh emosi berkata ‘ia terasa seperti kali pertama’ selepas menamatkan kemarau panjangnya di kedudukan pertama dengan mengatasi Max Verstappen dalam kelayakan ke Grand Prix Hungary semalam.
Juara dunia tujuh kali itu gembira selepas menyempurnakan kempennya sepanjang 33 perlumbaan dengan meraih petak pertama ke-104 dalam kariernya dan rekod kesembilannya di litar Hungaroring.
Mencatatkan masa pusingan terpantas satu minit dan 16.609 saat dalam jentera Mercedes untuk menewaskan pendahulu Red Bull dengan 0.003 saat, dia menamatkan lima kemenangan berturut-turut yang diraih Verstappen.
“Ia adalah satu setengah tahun yang gila,” kata Hamilton, yang kali terakhir mencatat kemenangan pada Grand Prix Arab Saudi 2021.
“Saya telah kehilangan suara saya daripada menjerit di dalam kereta dan saya amat bersyukur dengan perasaan itu kerana pasukan telah bekerja keras.

“Jadi, untuk meraih tempat pertama akhirnya, rasanya seperti kali pertama.
“Saya tidak sangka, datang ke sini hari ini, bahawa kami akan bertarung untuk petak pertama jadi apabila saya memasuki pusingan terakhir, saya memberikan segala-galanya. Tiada apa-apa lagi yang tinggal.”
Hamilton akan memburu rekod kemenangannya yang ke-104 dan kesembilan di Grand Prix Hungary, tetapi dia akan menghadapi cabaran sengit untuk mengalahkan Verstappen yang telah melakar enam kemenangan berturut-turut dalam perjalanannya untuk mendahului 99 mata di hadapan rakan sepasukan Sergio Perez dalam perlumbaan kejuaraan.
Verstappen, dengan pakej peningkatan baharu kereta Red Bull, kecewa dengan prestasinya sendiri apabila menduduki tempat kedua di hadapan gandingan McLaren iaitu Lando Norris dan Oscar Piastri.
Dia berkata, “Tidak banyak yang berlaku (untuk saya)… Saya telah bergelut sepanjang hujung minggu untuk mencari keseimbangan dan setiap sesi telah naik dan turun dan saya mendapati sukar untuk melancarkan serangan.” – AFP