Thursday, October 17, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hampir 100 orang mati selepas lori tangki meletup

    KANO, 16 OKT – Satu letupan lori tangki bahan api di utara Nigeria telah membunuh hampir 100 orang dan mencederakan 50 yang lain, kata polis hari ini.

    Kebanyakan mangsa cuba mengumpul bahan api yang tumpah di jalan selepas lori tangki itu terbalik di utara negeri Jigawa lewat kelmarin, kata jurucakap polis Lawan Shiisu Adam kepada AFP.

    Lori tangki bahan api itu terbabas ketika cuba mengelak daripada bertembung dengan sebuah lori di bandar Majia, katanya.

    “Kami setakat ini mengesahkan 94 orang maut dan kira-kira 50 mengalami kecederaan,” katanya sambil memberikan amaran bahawa angka kematian mungkin meningkat.

    Selepas kemalangan itu, penduduk berkumpul di sekeliling kenderaan itu, mengumpul bahan api yang tumpah di jalan dan di dalam longkang, kata Adam.

    Gambar Canva

    DIa berkata penduduk ‘menyerbu’ pegawai yang cuba menghalang mereka.

    Persatuan Perubatan Nigeria menggesa doktor untuk bergegas ke bilik kecemasan berhampiran untuk membantu pesakit yang datang berpusu-pusu.

    Letupan lori tangki bahan api adalah perkara biasa di negara paling ramai penduduk di Afrika, di mana jalan raya tidak diselenggara dengan baik dan penduduk sering mencari peluang untuk mengumpul bahan api selepas kemalangan.

    Bahan api kini menjadi barang yang lebih berharga apabila Nigeria mengalami krisis ekonomi terburuk dalam satu generasi.

    Harga petrol telah melonjak lima kali ganda sejak Presiden Bola Ahmed Tinubu menarik subsidi tahun lalu dan sering kekurangan bekalan.

    Keadaan terdesak meningkat minggu lalu selepas syarikat minyak negara itu menaikkan harga buat kali kedua dalam tempoh lebih sebulan.

    Kemalangan melibatkan lori tangki bahan minyak kerap berlaku di negara itu, dengan Suruhanjaya Keselamatan Jalan Raya Persekutuan (FRSC) merekodkan 1,531 pada 2020, menyebabkan 535 kematian. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda